Tuesday, May 17, 2011

Hadi Kekal Sebagai Presiden PAS

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan sebagai Presiden PAS setelah menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Bagaimanapun, jawatan timbalan presiden menyaksikan persaingan enam penjuru membabitkan penyandang Nasharudin Mat Isa, dua Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta tiga Anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat iaitu Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah), Datuk Husam Musa (exco Kerajaan Kelantan) dan Mohamad Sabu (bekas naib presiden).

"Pertandingan bagi jawatan Naib Presiden pula menyaksikan persaingan antara 14 calon iaitu penyandang Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin, Tuan Ibrahim, Azizan, Husam, Mohamad, pemimpin PAS Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah.

"Calon lain ialah Ketua Penerangan PAS Pusat Idris Ahmad, AJK Mazlan Aliman, Bendahari Pas Pusat Dr. Mohd Hatta Md Ramli, AJK Mujahid Yusof Rawa, Nasharudin, dan Nik Zawawi Nik Salleh dari Dewan Ulama," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Abdul Halim berkata pertandingan bagi AJK Pusat, yang menawarkan 18 tempat, pula menyaksikan rebutan di kalangan 83 calon.

Enam orang akan menyertai jawatankuasa it secara lantikan menjadikan jumlah keseluruhan 24 AJK.

Ditanya mengenai jumlah pencalonan yang diperoleh setiap calon, Abdul Halim berkata pihaknya tidak mahu mendedahkan.

"Kita tidak umum...kita tidak mahu terlibat seolah-olah dibaca sebagai berkempen (kepada calon)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata setiap calon akan dimaklumkan melalui surat mulai hari ini sehingga 26 Mei dan mereka perlu menjawab sama ada menerima pencalonan.

Beliau berkata calon boleh menggunakan tiga cara untuk menentukan sama ada mereka menerima pencalonan iaitu menerusi surat, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau faksimili yang perlu dihantar kepada jawatankuasa pemilihan.

Mustafa berkata calon boleh berkempen secara terbuka kerana tidak ada peraturan melarang mereka berbuat demikian namun, kata beliau, jika mereka berkempen secara berlebihan akan mengundang perasaan tidak senang di kalangan perwakilan.

Muktamar Tahunan ke-57 Pas akan diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Gombak di Kuala Lumpur dari 3 hingga 5 Jun ini.

No comments:

Post a Comment