Saturday, May 28, 2011

Ibu Terkejut Baju Anak Penuh Darah

"Saya hampir pengsan melihat darah berlumuran pada telinga kiri dan baju sekolah dipakai anak bongsu ketika dia pulang ke rumah," kata Fatimah Ngah, 54, dari Kampung Bukit Kandis, Bukit Tunggal, di sini berhubung kecederaan telinga anaknya dipercayai dipukul seorang pelajar, petang kelmarin.

Fatimah berkata, anaknya, Abdul Rahman Abdul Ghani, 13, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di kawasan itu, pulang ke rumah kira-kira jam 2.30 petang bersama abangnya, Mohd Khairul, 25, dalam keadaan berlumuran darah di telinga kiri untuk mengambil kad pengenalan bagi mendapat rawatan.

Beliau berkata, Abdul Rahman memaklumkan dia dipukul dan ditendang seorang daripada sekumpulan pelajar yang datang ke kelas sementaranya sebelum waktu persekolahan sesi petang bermula.

“Tendangan itu menyebabkan Abdul Rahman terdorong ke belakang dan ketika hendak terjatuh, bahagian kiri mukanya tersangkut pada bucu cermin tingkap, menyebabkan luka besar pada telinga kirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Mangsa bagaimanapun, tiada di rumah ketika itu kerana ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan susulan selepas difahamkan menerima tujuh jahitan di telinga kirinya.

Fatimah mendakwa anaknya tidak pernah menghadapi masalah dengan rakan yang lain kerana anaknya seorang yang pendiam dan amat berharap pihak polis dapat menyiasat kes itu secepat mungkin.

Bapa mangsa, Abdul Ghani Ismail, 64, berkata pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan wajar supaya masalah disiplin di sekolah itu dapat diperbaiki.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya polis percaya mangsa dipukul oleh pelajar lain dari sekolah yang sama dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana cubaan mendatangkan kecederaan.

Difahamkan polis sudah menahan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun pagi semalam untuk membantu siasatan.

Berita Harian/Bernama

No comments:

Post a Comment