Salbiah Mat Isa terharu menerima sumbangan yang disampaikan oleh Mohd. Rozali Salleh (kanan) di Pusat Warga Emas, Kampung Gong Mak Som, Alor Lintah, Besut, baru-baru ini.
Seorang ibu tunggal menitiskan air mata apabila kehidupannya dijengah oleh rombongan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sempena Program Turun Padang jabatan itu di Besut kelmarin.
Salbiah Mat Isa, 45, tenyata terharu dengan kehadiran rombongan pegawai JHEAT yang diketuai Pesuruhjayanya, Mohd. Rozali Salleh sambil bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan.
Dia yang menghidap kencing manis dan penyakit buah pinggang tinggal bersama empat anaknya di Pusat Warga Emas, Kampung Gong Mak Som, Alor Lintah di Besut dan kehidupan keluarga ditampung hasil pendapatan anak sulungnya yang bekerja sebagai pembantu kedai.
Sempena program dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gong Mak Som itu, Mohd. Razali bersama pegawainya turut menziarah keluarga yang menghuni pusat tersebut.
Sementara itu, Mohd. Rozali berkata, usaha itu merupakan pendekatan ke arah mendekati masyarakat sejajar dengan seruan pemimpin untuk lebih kerap menyelami kehidupan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Katanya, di setiap daerah, pegawai agama daerah akan memilih lokasi sesuai untuk menjalankan kerja amal seperti gotong-royong sambil menemui golongan kurang bernasib baik di samping membantu jika mereka berdepan dengan masalah tertentu.
Menurutnya, Besut merupakan daerah pertama JHEAT menjalankan program tersebut yang akan diikuti daerah lain selepas ini, dengan kerjasama pejabat agama daerah masing-masing.
"Pejabat agama daerah akan menjadi lokasi pertama dilawati diikuti dengan masjid sambil berjumpa dengan pihak pengurusan masjid termasuk imam dan bilal selain menjadi khatib tamu untuk membaca khutbah pada solat Jumaat," jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, JHEAT kini berusaha memperkemaskan pentadbiran dan pengurusan masjid dengan setiap pejabat agama daerah akan memilih sebuah masjid di daerah masing-masing sebagai masjid angkat.
No comments:
Post a Comment