Pantai Teluk Lipat sebelum ini adalah lukisan alam yang pasti memukau setiap pengunjung ke daerah ini. Bagaimanapun, seperti kata pepatah, sekali air bah sekali pasir berubah, musim tengkujuh hujung tahun lalu mengubah rona indah di Dungun.
Pantai Teluk Lipat terhakis teruk, malah pasir memutih yang menaikkan rona indah pantai kawasan ini semakin mengecil dan jika tiada sesuatu dilakukan segera, Jalan Pantai Teluk Lipat juga akan hanya tinggal nama.
Kawasan itu juga ada pelbagai kemudahan seperti institusi pengajian tinggi dan sebuah litar perlumbaan kereta kawalan (RC) bertaraf antarabangsa.
Justeru, melihat kemusnahan berikutan hakisan teruk yang merubah dengan drastik kecantikan Pantai Teluk Lipat, kerajaan negeri terpanggil untuk mengambil langkah proaktif mengeluarkan peruntukan segera untuk membina benteng penahan ombak supaya keindahan pantai peranginan itu dapat dipertahankan.
Peruntukan RM1.5 juta diluluskan untuk membina tiga benteng penahan ombak dan ia perlu disiapkan segera sebelum musim tengkujuh akan datang, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib.
Peruntukan segera itu, katanya, diluluskan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam lawatan kerja ke daerah Dungun pada minggu lalu melihat sendiri kemusnahan pantai itu dan mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiapkan reka bentuk benteng penahan ombak berkenaan.
“Kita minta supaya JPS segera menyerahkan reka bentuk terbabit supaya kerajaan negeri dapat menyalurkan peruntukan dan seterusnya kerja membina benteng itu akan dapat disegerakan,” katanya ditemui selepas merasmikan program Tenggol Underwater And Island Challenge (TUIC) anjuran Coral Malaysia di Dungun, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu, Fathil Abdul Ghani; Presiden Coral; Jamhariah Jaafar dan Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun (MPD); Mat Azmi Arshad.
Zaabar berkata, kerajaan negeri menunggu peruntukan kerajaan Pusat untuk membina benteng pemecah ombak di Pantai Teluk Lipat bernilai RM150 juta sebagai langkah pencegahan hakisan jangka panjang.
Pertimbangan untuk menyegerakan kerja pembinaan benteng penahan ombak juga, kata Zaabar disandarkan kepada faktor kawasan pantai itu akan menerima kehadiran ribuan kaki pancing yang akan menyertai kejohanan memancing Grand Slam GP Joran Grand anjuran akhbar ini pada Oktober depan.
Zaabar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, berkata daerah itu juga menghadapi masalah muara cetek di Kuala Dungun hingga menjejaskan nelayan mencari rezeki.
"Antara penyelesaian yang kita sedang rumus adalah proses mendalamkan muara dan pasirnya dibawa untuk ditambak di Pantai Teluk Lipat,” katanya.
Mengulas mengenai program TUIC, Zaabar yang masih berasa dekat dengan bidang pelancongan yang juga portfolionya sebelum ini, memuji usaha Coral Malaysia kerana selain membantu usaha pemuliharaan marin, ia juga akan mempromosikan Pulau Tenggol pada mata dunia.
Menerusi pertandingan fotografi bawah laut dan daratan, 21 jurugambar kategori dasar laut dan 12 daratan bersaing merakam keindahan pulau itu dan gambar dihasilkan akan dipamerkan pada Pameran Menyelam Antarabangsa Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 1 hingga 3 Julai depan.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment