Wednesday, May 4, 2011

IKBN Kemasik Beroperasi Julai Ini - Ahmad Shabery

Lima Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) baru akan memulakan operasinya Julai ini yang menawarkan beberapa kursus baru seperti perhotelan, terapi kecantikan, urutan sukan dan hiasan dalaman.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata IKBN berkenaan terletak di Kuala Langat (Selangor), Pekan (Pahang), Kemasik (gambar atas), Naka (Kedah) dan Penawar (Johor).

"IKBN ini ditubuhkan bagi memastikan golongan belia yang gagal ke institut pengajian tinggi tidak tercicir dalam pelajaran, serta mewujudkan golongan belia yang berkemahiran dan terlatih di pasaran," katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvokesyen IKBN ketujuh, di Putrajaya semalam.

Selain itu, Ahmad Shabery berkata dua buah akademi untuk belia ditubuhkan bagi memenuhi permintaan pelbagai industri mendapatkan tenaga kerja mahir pada kalangan warga tempatan.

Beliau berkata sebelum ini, negara banyak bergantung kepada pekerja asing sehingga menyebabkan pengaliran wang berbilion ringgit ke luar negara.

"Melalui penubuhan dua buah akademi ini iaitu Akademi Kemahiran Belia Golf dan Akademi Kemahiran merupakan respons cepat kerajaan terhadap pelbagai industri termasuk bidang sukan," katanya.

No comments:

Post a Comment