Pengusiran dua wanita Malaysia dari Lombok, Indonesia dibuat atas dasar kemanusiaan dan juga mengambil kira hubungan baik kedua-dua negara.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Muhd Khairun Aseh berkata ini kerana Harlizan Ibrahim dan Nooriah Abdullah hanya diusir pulang sekalipun tinggal di negara itu melebihi masa yang dibenarkan.
"Mereka bantu kita dengan hanya mengambil tindakan mengusir dan ia adalah disebabkan atas faktor kemanusiaan dan perkara ini jarang berlaku," katanya kepada sidang media, di Kuala Lumpur, kelmarin.
Perkara itu dipersetujui Pegawai Imigrasi Mataram Amirudin Utomodiwiryo yang turut hadir pada sidang media tersebut.
"Tindakan mengusir tersebut kita buat setelah dapat pengizinan dari kantor pusat dan kita hantar mereka pulang setelah pelbagai urusan selesai dilakukan di sini," kata Amirudin.
Harlizan, 36, yang berasal dari Terengganu ditinggalkan suaminya di Lombok semasa mengandung dua bulan, dan dihantar pulang ke kampung halamannya semalam selepas mengikut lelaki itu ke kepulauan tersebut dua tahun lepas.
Beliau kembali ke pangkuan keluarga bersama anak lelakinya Zulfaqar Abdullah Asbi, 13bulan.
Sementara itu, Nooriah, 30, yang lari mengikut lelaki Lombok 13 tahun lepas dihantar pulang ke kampung asal di Kampung Bohor Tok Ad, Langkawi, Kedah.
Pada sidang media itu Muhd Khairun turut berterima kasih kepada pihak berkuasa Indonesia yang menghulur bantuan atas dasar semangat muhibah kedua-dua negara.
No comments:
Post a Comment