Peserta e-Kasih diingatkan agar bertanggungjawab dengan tidak menyalahgunakan pemberian peralatan bantuan yang disalurkan kerajaan bagi membantu memajukan kehidupan mereka.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikhsan berkata, mereka yang mendapat kemudahan setelah menyertai program latihan dan keusahawanan e-Kasih tidak sepatutnya menjual peralatan itu.
Beliau menegaskan, jika mereka didapati melakukan perkara tersebut, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan selain membekukan bantuan untuk mereka pada masa hadapan.
Katanya, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana masih ramai peserta yang benar-benar mahu menjalankan perniagaan, namun tidak memperoleh kemudahan itu.
“Saya berharap mereka bekerja keras untuk mengubah ekonomi keluarga dan bukannya mengambil jalan mudah dengan menjual bantuan yang diterima,” katanya selepas menutup Program Kemahiran dan Keusahawanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dekat Kuala Terengganu kelmarin.
Program yang dikendalikan oleh Kelab Wanita Kijang Kelantan itu diadakan selama tujuh hari melibatkan seramai 165 peserta e-Kasih di daerah Kuala Terengganu bertujuan membasmi kemiskinan bagi kalangan penduduk bandar.
Menurut Adnan, kementeriannya menyasarkan 75 peratus daripada jumlah peserta yang menyertai program tersebut berjaya dibawa keluar daripada senarai miskin bandar yang kini mencecah hampir 90,000 orang di seluruh negara.
Katanya, program itu akan diadakan di 146 bandar di seluruh negara secara berperingkat.
“Sehingga kini seramai 454 peserta telah menyertai program ini yang melibatkan lebih 10 kursus dan kemahiran seperti jahitan, tata rias, gunting rambut, pembantu tadika dan usahawan.
“Kita akan memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa dan kita yakin dalam tempoh dua hingga tiga bulan kita akan dapat melihat kejayaan mereka,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment