Wednesday, May 25, 2011

Penganggur Didakwa edar, Miliki Dadah

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, Ahald lalu atas dua pertuduhan iaitu mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 127.02 gram.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Azman Mohamad, 42, didapati mengedar methamphetamine seberat 111.10 gram di sebuah rumah di Jalan Batu Rakit di sini kira-kira pukul 6 petang pada 12 Mei lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang juga boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki methamphetamine seberat 15.92 gram di rumah yang sama pada tarikh dan waktu yang sama seperti pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan itu, dia akan didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun dan diwajibkan menjalani hukuman sebat di antara tiga hingga sembilan kali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Zulfazliah Mahmud di hadapan Majistret, Siti Faraziana Zainuddin.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan tarikh 3 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment