Tuesday, May 10, 2011

Kapal Taman Laut 1 Permata Mantapkan Operasi Penguatkuasaan Pada Musim Tengkujuh

Operasi penguatkuasaan di persisiran pantai bawah seliaan Jabatan Taman Laut (JTL) pada musim tengkujuh kini ditingkatkan lagi dengan pelancaran Kapal Taman Laut 1 Permata.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Unggah Embas berkata kapal yang memuatkan sehingga 20 penumpang itu akan digunakan bagi aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan perairan taman laut di Pahang, Johor dan Terengganu.

Katanya bot-bot sedia ada iaitu bot peronda laju kurang sesuai digunakan semasa musim tengkujuh iaitu pada bulan November hingga Januari berikutan keadaan laut yang bergelora dan angin kencang sekaligus membuka ruang kepada pencerobohan kawasan taman laut tanpa pengawasan pihak JTL.

"Dengan kapal ini, kita dapat mantapkan lagi operasi pada musim tengkujuh di mana sebelum ini aktiviti pencerobohan begitu aktif sebab kita tidak dapat menjalankan operasi penguatkuasaan disebabkan kapal peronda sedia ada tidak mampu menahan keadaan cuaca buruk pada musim tengkujuh," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kapal tersebut di jeti Taman Laut Pulau Tioman semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Zoal Azha Yusof dan Ketua Pengarah JTL Dr Sukarno Wagiman.

Uggah berkata ketika ini JTL mempunyai kekuatan anggota penguatkuasaan seramai 138 orang dengan jumlah bot sebanyak 22 buah.

Mengulas lanjut, beliau berkata kapal berkelajuan 34 knot dan dibina dengan kos RM14 juta bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) turut digunakan dalam aktiviti kajian, latihan, operasi membersihkan tumpahan minyak, membawa peralatan dan anggota, menjalankan kerja penyelenggaraan dan pemasangan boya di perairan taman laut.

Dalam memastikan kawasan sekitar taman laut dan sumber biodiversiti marin sentiasa terpelihara, katanya pengawasan juga akan ditingkatkan untuk aktiviti snorkeling dan selam skuba bagi mengelak para penyelam mengambil dan merosakkan batu karang serta hidupan laut lain seperti gamat.

Dalam pada itu, Unggah turut menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) antara JTL yang diwakili oleh Sukarno dan Universiti Malaya oleh Pengarah Pengurusan dan Pemantauan Penyelidikan Prof Dr Norsaadah Abd Rahman.

MoU berkenaan ditandatangani bagi menjalankan program penyelidikan selama tiga tahun mengenai impak larangan menangkap ikan pada jarak dua batu nautika dari kawasan taman laut yang dikuatkuasakan selama ini.

"Penyelidikan ini merangkumi aspek kajian tentang mmperkembangkan kawasan pembiakan ikan dan pertumbuhan hidupan marin biodiversiti yang dianggap sebagai khazanah negara yang perlu dipelihara dan dilindungi," katanya.

No comments:

Post a Comment