Wednesday, May 25, 2011

Kelantan Lunas Hasrat Balas Dendam Terhadap T-Team Malam Ini

T-Team boleh bantu Terengganu atasi Kelantan jika berjaya mengalahkan gergasi Pantai Timur itu. Ini petang kerana Terengganu kini sama mata dengan Kelantan tetapi Red Worriors mempunyai kelebihan jaringan.

Juga jika menang T-Team akan menjadi pasukan yang berjaya menewaskan pasukan ternama selepas sebelum ini melakukannya terhadap Selangor.

Kerana itu misi membalas dendam jelas terpancar pada wajah Datuk M Karathu dan anak didiknya apabila Kelantan turun menentang T-Team dalam perlawanan penting Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.

Hakikat itu terbit daripada mulut pemain sayap kiri Kelantan, Nurul Azwan Roya yang melaungkan tekad betapa dia dan rakan sepasukan The Red Warriors mahu menebus detik kecewa tewas kepada kelab dari Terengganu itu, 3-4 dalam perlawanan pusingan pertama pada 5 April lalu.

“Saya dan rakan sudah bersedia sepenuhnya menanti kunjungan T-Team yang dianggap pasukan yang kuat dan menunjukkan kebangkitan selepas pasukan itu menewaskan Selangor 2-1 di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

“Kita tidak boleh pandang mudah keupayaan T-Team walaupun beraksi di laman sendiri kerana kesilapan akan membawa padah kepada pasukan dalam mengukuhkan kedudukan takhta Liga Super,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Sementara itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menganggap perlawanan berdepan T-Team akan menjadi penentu kebangkitan Red Warriors selepas terikat 2-2 dengan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

“Saya akui cabaran pasti sengit diberi T-Team tetapi saya sudah bersedia menggalas tugas sebagai penjaga gol dan harap tumpuan sepenuhnya rakan sepasukan membenam T-Team nanti,” kata pemain kelahiran Kampung Cherang, Kota Bharu itu.

Kelantan kini mendahului hanya dengan kelebihan jaringan dari segi mata dengan Terengganu dan sebarang kekalahan akan mendatangkan masalah menjadi juara Pila Super untuk pasukan berkenaan.

Pada perlawanan terakhir Kelantan, penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha tampil menjadi penyelamat pasukan apabila jaringannya tiga minit sebelum tamat perlawanan membantu Kelantan pulang berbekal satu mata berharga selepas seri 2-2 dengan Harimau Muda A dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam Khamis lalu.

Keputusan ini membolehkan Red Warriors terus kekal selaku pendahulu pada hari yang menyaksikan Selangor gagal menghambat pencabar mereka itu selepas tersentak tewas kepada Pahang 2-1 di Kuantan.

Lebih perit, anak didik K Devan tertekan apabila finalis Piala FA, Terengganu yang menang 3-0 ke atas Negeri Sembilan di halaman sendiri melonjak memintas mereka di tangga kedua - berkongsi himpunan 44 mata bersama Kelantan tetapi dipisahkan di atas perbezaan empat gol.

Dibantu sorakan padu kira-kira 10,000 penyokongnya, keghairahan Kelantan mencari kemenangan terserlah dari awal apabila terus mengasak Harimau Muda A sebaik wisel dibunyikan.

Namun, mereka tersentak dengan gol pembukaan pada minit ke-14 oleh Harimau Muda A menerusi Izzaq Faris Ramlan sebelum Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan S Chanturu pada minit ke-32.

Izzaq Faris ternyata menjadi duri dalam daging kepada Kelantan apabila sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-69, dan usaha Kelantan untuk menyelamatkan mata berhasil apabila Norshahrul atau Mat Yo tampil gah menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat saingan.

Di Stadium Darulmakmur, Azamudin Mohd Akil yang bertindak selaku penyerang akibat kecederaan R Surendran dan Mohd Faizol Hussain memastikan tuan rumah mendahului 1-0 yang kekal hingga separuh masa tamat.

Ketinggalan 1-0 menyaksikan Selangor bangkit mengasak di babak kedua tetapi gawang mereka dikawal Mohd Iqbal Suhaimi robek lagi, kali ini menerusi Mohd Munir Amran pada minit ke-80.

Bagaimanapun, anak buah Devan mendapat gol sagu hati menerusi sepakan percuma R Surendran pada minit terakhir permainan.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment