Thursday, May 12, 2011

Kelas Khas al- Quran Kembalikan Kegemilangan Qari, Qariah

Antara peserta yang memperdengarkan bacaan pada malam pertama.

Pencapaian qari dan qariah Terengganu kebelakangan ini yang kurang memberangsangkan menyebabkan kerajaan negeri bercadang mewujudkan kelas khas al-Quran secara percuma bagi mempertingkatkan mutu bacaan mereka mulai bulan depan.

Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata langkah itu bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dihasilkan qari dan qariah terdahulu, terutama kejayaan, Haji Daud Che Man dan Dato’ Hajah Rogayah Sulong di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


"Kita buat keputusan buka kelas khas kepada qari dan qariah supaya membetulkan tajwid dan taranum masing-masing dengan dibimbing Tuan Haji Daud Che Man dan Hajah Rogayah Sulong ini.

“Sebab itu kita minta dibuka satu kelas khas kepada qari dan qariah yang bertanding di peringkat daerah dan negeri pada masa depan,” katanya selepas merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2011, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Terengganu, malam kelmarin.


Turut hadir pada majlis tilawah al-Quran kali ke-54 yang membawa tema `1 Malaysia, 1 Ummah’ itu ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Yang DiPertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Ahmad Said berkata kelas khas yang dibuka khusus untuk anak Terengganu tidak terhad kepada peringkat umur bagi memastikan penguasaan mereka dalam penyampaian al-Quran dengan kaedah yang betul.

Sementara itu, pertandingan tilawah al-Quran kali ini disertai 16 qari dan qariah menawarkan hadiah wang tunai RM7,000 kepada johan qari dan qariah, di samping piala pusingan, sijil penyertaan dan tambang menunaikan haji.

Naib Johan pula akan menerima wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga akan menerima RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.


Lima peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada malam pertama Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2011 itu dengan johan tilawah peringkat negeri tahun lalu, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, 28, muncul peserta pertama yang membacakan surah al-Baqarah bermula daripada ayat 44.

Beliau yang juga Tutor Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia dari Kampung Gong Kijang, Kuala Terengganu menggunakan Taranum Rast dan Sikah.

Manakala peserta kedua, Hajah Porziah Mamat, 55, yang mewakili daerah Hulu Terengganu memperdengarkan surah al-Maidah, ayat 67 dengan Taranum Hijaz dan Sobah.

Peserta ketiga, qari dari Marang, Zainal Adam, 45, tampil dengan surah al-A’raf ayat 156, diikuti qariah yang mewakili Kuala Terengganu, Cik Nor Jannah Abdul Rahman, 20, memperdengarkan bacaan surah at-Taubah ayat 38.

Peserta terakhir bagi malam pertama, qari dari Kemaman, Mohd Abd Latiffah Shah Che Yusof, 49, pula menampilkan Taranum Nahawand dan Jiharkah menerusi Surah al-Hud ayat 41.

Seramai 16 peserta masing-masing lapan qari dan lapan qariah termasuk dua johan menunggu mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini. Pertandingan yang bersambung malam ini akan diteruskan lagi dengan bacaan daripada 11 peserta.

Majlis penutup tilawah serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta bakal disempurnakan Yang Teramat Mulia, Tengku Sri Laksamana Raja ini ( 12 Mei) bermula jam 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment