Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam diberitahu bahawa terdapat 6,924 ibu tunggal dan 798 bapa tunggal daripada 25,000 penduduk miskin yang berada dalam senarai e-Kasih negeri Terengganu hingga akhir tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata walaupun program khusus bagi golongan itu dari segi pembiayaan modal belum ada, tetapi kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan program khas buat mereka di bawah kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.
"Antaranya program jaya diri iaitu program yang berbentuk pemberian pinjaman modal berdasarkan kemampuan dan penilaian jabatan yang mana peserta terlibat hanya perlu membayar berdasarkan ketetapan oleh jabatan terbabit," katanya.
Yahya (BN-Pengkalan Berangan) berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Halim Jusoh (BN-Permaisuri) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ke 12 di sini yang mahukan penjelasan mengenai program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu ibu tunggal.
Menurutnya selain itu program-program untuk memperkasa golongan ibu tunggal juga diadakan seperti menubuhkan kelab ibu tunggal mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri bagi membantu mereka.
"Kami juga membekalkan bantuan kewangan dan mengadakan bengkel pemantapan kelab ibu tunggal, bengkel pembimbing, bengkel kemahiran ekonomi dan juga lawatan yang bermaklumat untuk kepentingan mereka," katanya.
Mengenai program e-Kasih, beliau berkata beberapa proses tertentu dilaksanakan sebelum seseorang itu layak disenarai di bawah e-Kasih.
Antaranya termasuk seseorang individu itu perlu mengisi borang secara manual atau `on line’.
“Melalui borang itu, beberapa pihak berkaitan akan tampil membuat bancian bagi mengetahui sama ada pemohon benar-benar layak atau sebaliknya,” katanya.
Katanya, YPK mewujudkan pelbagai program, bantuan dan sokongan bagi meringankan beban golongan itu, terutama ibu tunggal agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.
“Langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai anak masih bersekolah mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti dan tidak tercicir daripada pelajaran.
“Di samping bantuan berbentuk kewangan, barangan, kursus kemahiran juga ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan serta kemahiran menjahit pakaian dan sebagainya,” katanya
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment