Thursday, May 5, 2011

Kemelut T-Team Akan Selesai - Rozi

Oleh Shahrir Hamid

Ketua Jurulatih T-Team, Yunus Aliff yang direhatkan seminggu bakal ditentukan statusnya apabila pengurusan pasukan berstatus kelab itu akan bermesyuarat bagi menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan berkenaan.

Perkara ini dijelaskan sendiri oleh, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat selepas majlis perasmian pejabat urusan Terengganu Pro-Asia Cycling Team, Kuala Terengganu semalam.

“Kita tidak boleh memecat ketua jurulatih sesuka hati kerana tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan FAM. Yunus masih sebagai Ketua Jurulatih T-Team dalam rekod FAM”, katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai mengenai jawatan ketua jurulatih bakal digalas oleh Yusof Ali, Rozi menafikan sekerasnya dan memberitahu media Yusof hanyalah pemangku jawatan itu dan merupakan pembantu Yunus sebelum ini.

Menurut Rozi, Yusof adalah bekas jurulatih Piala Presiden Terengganu dan sekiranya mampu membawa T-Team ke suatu tahap lebih baik beliau berkemungkinan akan terus memimpin T-Team.

Menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said memberi masa setahun kepada T-Team menunjukkan prestasi memberangsangkan kerana kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi pasukan kelab berkenaan.

“Kita mempunyai dua pasukan bolasepak di bawah kerajaan negeri dan kerajaan membelanjakan 3 juta setahun untuk T-Team dan sekiranya prestasi tidak menentu, kerajaan akan membubarkan pasukan itu”, ulas Dato’ Seri Ahmad.

Menurut Ahmad Said lagi, T-Team sebuah pasukan yang kuat tetapi prestasi ketika menunujukkan prestasi yang tidk menentu kebelakangan ini.

Beliau meluahkan rasa hairan kerana T-Team mempunyai barisan bintang yang lebih ramai daripada Terengganu.

Namun kedudukan liga ketika ini menunujukkan Terengganu berada di kedudukan lebih baik iaitu di tangga ketiga dan hanya dibezakan satu mata daripada pendahulu liga.

“Saya berharap pengurusan T-Team dapat membuat keputusan tepat supaya pasukan ini terus bersaing dan sekurang-kurangnya memasuki peringkat separuh akhir dalam kejohanan tempatan”, kata Menteri Besar itu pada majlis yang sama.

No comments:

Post a Comment