Mohd Azizulhasni Awang menangguhkan hasrat untuk pulang ke Melbourne yang dijadual pada 10 Mei ini memandangkan kecederaan betis kirinya yang belum pulih.
Buat sementara kata Azizulhasni, dia berlatih sendiri untuk mengekalkan kecergasannya dan pada masa yang sama terus menjalani rawatan fisioterapi.
“Saya mengambil keputusan meneruskan latihan di sini sehinggalah betis saya betul-betul kuat untuk mengayuh semula,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2009/2010 di Wisma Darul Iman, kelmarin.
Tambah Azizulhasni, dia perlu membuat persediaan untuk menghadapi dua kejohanan pada Ogos ini di China dan Kazakhstan, selain empat kejohanan Siri Piala Dunia hingga awal tahun depan sebelum ke Sukan Olimpik.
Katanya, misi utamanya adalah meraih pingat emas negara pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Azizulhasni mengalami cedera pada betis kiri yang ditusuk serpihan kayu semasa bersaing dalam acara akhir keirin Piala Dunia Klasik di Manchester, England, Februari lalu.
No comments:
Post a Comment