Friday, May 6, 2011

Kemudahan Kardium Akan Diwujudkan Di Semua Negeri, Kata Rosnah

Kemudahan Kardium akan diwujudkan di semua negeri dalam waktu terdekat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan rawatan penyakit kardiovaskular di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata jumlah pesakit yang menghidap penyakit kardiovaskular makin meningkat setiap tahun dan kementerian sedang berusaha untuk menyediakan kemudahan rawatan kepada pesakit.

"Berdasarkan (statistik) Persatuan Jantung Kebangsaan, dari 2006 hingga 2008, 9,915 pesakit dimasukkan ke hospital kerana menghidap sindrom koronari teruk (ACS) atau sindrom penyakit jantung.

"Dan bagi "percutaneous koronary intervension" (PCI), mengikut pangkalan data bagi rawatan penyakit jantung, sebanyak 10,602 pesakit menjalani rawatan itu dari 2007 hingga 2009," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kardiologi Asia Pasifik ke-18 di Kuala Lumpur.

Acara lima hari itu yang berobjektif membincangkan isu pengurusan penyakit kardiovaskular disertai 3,000 perwakilan dari 36 negara termasuk Eropah dan Amerika.

Bagaimanapun, Rosnah berkata kemudahan kardium yang terdapat di hospital kerajaan dan swasta di beberapa negeri adalah mencukupi untuk merawat pesakit.

Di bawah Kementerian Kesihatan, terdapat empat pusat kardium iaitu di Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Serdang.

"Perkhidmatan kardiotorasik turut terdapat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baharu dan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

"Selain itu, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu mempunyai perkhidmatan kardiologi," katanya.

No comments:

Post a Comment