Sunday, May 8, 2011

Kerajaan Buat Pelaburan Besar Dalam Bidang Pendidikan

Kerajaan sanggup buat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan pelbagai pengiktirafan juga diberi kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, tumpuan kerajaan hari adalah untuk melahirkan seramai mungkin pakar dalam bidang perubatan.

“Kita perlu terjemahkan dalam hidup kita ini dengan pelbagai cabang ilmu dan mampu menguasai pelbagai bahasa,” katanya.

Beliau menyatakannya pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung dan Anugerah Kecemerlangan Akademik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, wakil Pengarah Jabatan Pelajaran, Haji Zubir Embong; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) merangkap Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Datuk Che Mat Jusoh dan Pengetua SMK Sultan Sulaiman, Haji Zakaria Awang.

Katanya, lebih 90 peratus rakyat di Negara ini mencapai kejayaan dalam kehidupan kerana mempunyai pengetahuan akademiknya yang baik.

“Usaha kerajaan mewujudkan kelas maya di sekolah-sekolah juga merupakan satu lonjakan dalam arus pendidikan bagi memastikan pelajaran itu suatu yang menyeronokkan,’ katanya.

Menteri Besar juga mengingatkan ibu bapa agar bersama kerajaan memberi dorongan dan sokongan untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu berdepan dengan cabaran diperingkat global.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya menyampaikan anugerah kecemerlangan akademik kepada 217 pelajar yang berjaya mencatat keputusan semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

No comments:

Post a Comment