Sunday, May 8, 2011

Terengganu Miliki Pakej Pelancongan Untuk Tonjol Bio-Pelancongan

Terengganu, yang mempunyai pakej lengkap dalam bidang pelancongan, perlu menonjolkan kepelbagaian biologi di kawasan setempat untuk menarik lebih ramai pelancong asing berkunjung, kata Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit.

Beliau berkata Terengganu mempunyai beberapa buah pulau luar pantai yang menarik manakala di tanah besar mempunyai sebuah tasik iaitu Tasik Kenyir yang kini sudah terkenal di serata dunia.

"Di tasik itu terdapat pelbagai daya tarikan pelancong yang sedia ada iaitu bio-tourism (bio-pelancongan) seperti air, ikan, binatang serta tumbuh-tumbuhan yang mengandungi pelbagai jenis pokok.

"Oleh itu kalau kita fokus dengan produk bio-tourism ini, sudah pasti negeri Terengganu mampu menarik limpahan pelancong terutama dari luar negara dengan hebat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Penerangan Kenyir di Pangkalan Gawi, di Hulu Terengganu.

Pusat Penerangan Kenyir, yang merupakan pintu masuk ke Tasik Kenyir menyediakan segala maklumat mengenai tasik itu, dibina dengan kos RM3.8 juta.

Dawos berkata seperti di Amerika, Mexico atau Kanada, istilah 'eko-tourism' diubah menggunakan istilah 'bio-tourism' kerana mereka ingin mempromosikan kepelbagaian biologi sebagai tarikan.

Beliau berkata, dalam tempoh satu dekad negara mencatat peningkatan ketara dalam bidang pelancongan apabila 10.2 juta pelancong datang ke Malaysia pada 2000 dengan menghasilkan pendapatan sebanyak RM17.3 bilion.

"Angka itu melonjak dengan begitu ketara pada 2010 apabila 24.6 juta pelancong melawat negara ini dan menjana pendapatan sehingga RM56.6 bilion," katanya.

No comments:

Post a Comment