Thursday, May 26, 2011

Kerajaan Sentiasa Pantau Perkembangan Kawasan Bebas Cukai Tasik Kenyir

Kerajaan sentiasa memantau dari semasa ke semasa pembangunan Tasik Kenyir yang akan dijadikan kawasan bebas cukai pertama bagi tasik di negara ini pada akhir tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, kini proses pengeluaran tender bagi kerja-kerja pembangunan di tasik itu sedang berjalan.

"Memang ada sedikit terkebelakang daripada jadual asal kerana terpaksa membuat pindaan pada pelan dan sebagainya. Kalau boleh kita mahu siap pada Ogos tahun depan, tetapi kalau terlewat, kita harap dapat beroperasi pada 2013.

"Kini kerja-kerja pembinaan menara untuk laluan kabel elektrik sepanjang 22 kilometer dari Kampung Kuala Ping ke Pulau Bayas di tasik itu yang menelan belanja kira-kira RM33 juta sedang berjalan dan dijangka siap akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Terengganu 2011 dan melancarkan Buku Pelan Strategik, Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Terengganu 2011-2015 di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah.

No comments:

Post a Comment