Thursday, May 26, 2011

Terengganu Sasar 27 Emas Pada Sukan Malaysia Ke-14

Zainal (baju merah) menerangkan sesuatu kepada Ketua Kontinjen Datuk Wan Ahmad Wan Muda pada satu majlis kelmarin.

Terengganu mensasarkan 27 pingat emas di samping 18 pingat perak dan 12 pingat gangsa pada kejohanan Sukan Malaysia ke-14 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor selama 11 hari mulai 2 Jun depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Zainal Abidin Hussin berkata sumbangan pingat emas disandarkan daripada acara kenu, basikal trek, judo dan mendayung di samping acara lain.

Terengganu akan menghantar seramai 218 atlet lelaki dan wanita yang akan menyertai 15 daripada 19 acara yang akan dipertandingkan pada kejohanan itu nanti, katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Katanya acara yang akan disertai Terengganu ialah kenu, basikal trek, bina badan, bola jaring, bola baling, bola keranjang, bola tampar pantai, futsal, judo, lawan pedang, mendayung, ping pong, ragbi, sofball dan tenis.

Terengganu tidak mengambil bahagian dalam acara kavadi, kriket, renang irama, polo air dan silambam, katanya.

Zainal Abidin berkata, untuk mencapai impian Terengganu itu, atlet telah menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lepas di bawah bimbingan 24 jurulatih dan 10 pegawai.

Beliau berkata latihan peringkat akhir selama dua hari telah diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berakhir malam Ahad lalu.

Katanya majlis penyerahan bendera Terengganu kepada Ketua Kontinjen Datuk Wan Ahmad Wan Muda oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said akan diadakan di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu pada Isnin (30 Mei 2011).

No comments:

Post a Comment