Thursday, May 19, 2011

Kontraktor Di Terengganu Disaran Guna Teknologi Pembinaan Terkini

Menteri Besar menguji salah satu peralatan pameran ditemani Datuk Za'abar (paling kanan) selepas merasmikan pesta. - Gambar Zulkifli Putra

Kontraktor di Terengganu disaran supaya melabur dan menggunakan teknologi pembinaan terkini kerana bidang itu kini tidak boleh lagi bergantung kepada tenaga buruh.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata secara realitinya kontraktor dapat mengurangkan penggunaan buruh dan mengaplikasikan penggunaan teknologi secara beransur-ansur.

"Ini kerana penggunaan teknologi dengan penggunaan tenaga buruh sekaligus menuntut peningkatan kos secara mendadak.

"Penggunaan teknologi perlu memandangkan cabaran pada masa hadapan di mana pada 2015, pasaran industri pembinaan di rantau Asean akan diliberalisasikan di bawah Perjanjian Rangka Kerja Asean bagi Perkhidmatan (AFAS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Perdagangan Terengganu (TTF)2011 dan seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Kuala Terengganu hari ini.Turut hadir pada majlis itu Pengarah CIDB Sharifudin Che Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.

TTF yang berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Terengganu itu disertai 60 buah syarikat pembinaan dan pengeluaran dari dalam dan luar Terengganu melibatkan 150buah gerai dengan mensasarkan kira-kira 10,000 pengunjung.

Ahmad Said berkata sehubungan dengan itu kontraktor harus bersedia dengan melengkapkan diri masing-masing dengan keupayaan yang sewajarnya.

Beliau juga menggesa supaya kontraktor melatih pekerja mereka agar tidak bergantung kepada buruh asing.

Katanya kontraktor juga perlu menilai keistimewaan dan kelebihan yang dapat ditawarkan berbanding dengan kontraktor lain bagi mendapatkan projek.

"Ketika ini kita sering bersaing di antara kontraktor tempatan bagi membida projek. Bayangkan sekiranya saingan di masa hadapan turut melibatkan kontraktor asing," katanya.

Ahmad berkata sekiranya semua pihak di dalam industri menanam sikap berintergriti, menyiapkan projek berkualiti serta berusaha mencapai taraf dunia, ia bukan sahaja mampu menyokong agenda kerajaan dalam menjadikan negara ini sebuah negara maju, tetapi juga mampu meletakkan imej industri pembinaan sebagai industri yang kompetitif serta berdaya saing.

No comments:

Post a Comment