Thursday, May 19, 2011

Pemilik Tanah Culas Berdepan Tindakan Tanah Dilelong, Dirampas- SUK

Tegas...Datuk Mazlan pada sidang media semalam. - Gambar Zulkifli Putra

Pemilik yang masih culas menjelaskan tunggakan cukai tanah selama tiga tahun berturut-turut bakal berdepan tindakan tegas termasuk tanah mereka dirampas dan dilelong.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah ketika mengingatkan perkara demikian berkata, mereka perlu menjelaskan cukai tersebut mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Kita harap semua pemilik tanah membayar cukai mengikut tempoh yang ditetapkan untuk faedah rakyat di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, katanya, kerajaan negeri memutuskan tempoh membayar cukai tanah yang sepatutnya berakhir 31 Mei ini dilanjutkan kepada 31 Julai depan.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat semalam yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam.

"Mengikut Seksyen 94(2) Kanun Tanah Negara, para pemilik tanah dikehendaki membayar cukai tanah masing-masing pada atau sebelum 31 Mei ini dan jika gagal, mereka boleh didenda.

"Tapi hari ini kerajaan negeri bersetuju untuk lanjutkan tempoh itu kepada 31 Julai ini yang membolehkan pemilik tanah diberi masa dua bulan lagi untuk berbuat demikian," katanya.

Mazlan mengulas lanjut, pada sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri mengutip hasil cukai tanah berjumlah RM7.6 juta sedangkan jumlah yang sepatutnya dipungut ialah RM25.1 juta.
Beliau menjelaskan, daripada keseluruhan pembayar cukai tanah, hanya 30.56 peratus yang menjelaskan bayaran cukai tanah dalam tempoh ditetapkan sepanjang tahun lalu.

Bagi tahun ini pula, tambahnya, kerajaan negeri menyasarkan kutipan cukai tanah berjumlah RM26 juta manakala hasil pungutan setakat empat bulan pertama tahun ini ialah sebanyak RM9.9 juta.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment