Wednesday, May 4, 2011

Koperasi Syariah Bermula Bulan Depan

Koperasi Pembiayaan Syariah atau Kopsya Angkasa yang berkonsepkan syariah akan beroperasi bulan depan, kata Timbalan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Beliau berkata mesyuarat agung pertama koperasi itu diadakan Jumaat lalu untuk memilih ahli lembaga pengarah di samping meluluskan undang-undang kecilnya.

"Kini kita dalam proses menghantar undang-undang kecil kepada Suruhanjaya Koperasi untuk diluluskan dan dalam tempoh sebulan, kita jangka Kopsya Angkasa sudah boleh beroperasi sepenuhnya," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

Abdul Fattah berkata Kopsya Angkasa berfungsi sebagai institusi kewangan seperti Bank Rakyat yang menyediakan pinjaman peribadi kepada ahli dan turut menawarkan produk pinjaman perumahan.

"Ahli akan menikmati pembiayaan kewangan yang berasaskan syariah. Kopsya Angkasa juga akan memberi keuntungan kepada ahli Angkasa dan koperasi lain yang menyertainya," katanya

No comments:

Post a Comment