Seorang lelaki maut setelah ditimpa lori yang dipandunya ketika sedang membawa muatan kayu dekat Kampung Batu 13, Hulu Besut, di Besut malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa Zuraimi Jusoh, 40, dari Kampung Lapan Kota, Besut bersama dua orang anaknya pergi ke satu kawasan perhutanan berdekatan tempat kejadian untuk mengangkut kayu yang dipotong untuk dihantar ke sebuah kilang papan di Kampung Batu 13 di situ.
Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 8 malam ketika melalui sebuah bukit, lori yang dipandu oleh mangsa dilaporkan mengalami kerosakan brek menyebabkan kenderaan itu mengundur sejauh 50 meter.
"Zuraimi turun dari lori itu dan cuba membetulkan kedudukan lorinya daripada melanggar sebuah tiang, bagaimanapun lorinya terbalik dan menimpa mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, katanya, dua anaknya Mohd Ikmal Hakim, 7, dan Amirul Hamdi, 5, yang duduk di tempat duduk hadapan terselamat dan mereka kemudian pergi mendapatkan pertolongan dari penduduk berdekatan untuk menyelamatkan bapanya.
Mayat Zuraimi berjaya dikeluarkan dari bawah lori dan dihantar ke Hospital Daerah Besut di Jerteh pada jam 10.30 malam sebelum dituntut oleh anggota keluarganya untuk dikebumikan.
No comments:
Post a Comment