Tuesday, May 10, 2011

2,000 Hadir Tahlil Ulang Tahun UMNO

Rosli Mat Hassan (tengah) mengaminkan doa ketika menghadiri majlis tahlil di Masjid Al-Naim, Dungun, baru-baru ini.

Kira-kira 2,000 menghadiri majlis tahlil anjuran UMNO Bahagian Dungun dan penyelaras Dewan Undangan Negeri Sura di Masjid Al-Naim, di Dungun, kelmarin.

Ia diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-65 UMNO di samping memperingati 50 tokoh dan penggerak parti di sini yang telah meninggal dunia.

Ketuanya, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, ia bagi mengenang kembali perjuangan UMNO dan tenaga penggerak terdahulu dalam usaha menegakkan syiar Islam, membangunkan masyarakat, bangsa dan negara.

Katanya, apa yang telah diteraskan telah membantu mengukuhkan UMNO dan membolehkan parti itu terus berperanan dalam keadaan yang semakin mencabar yang menuntut tanggungjawab itu disambung oleh penggerak kini.

Berucap pada majlis itu, Rosli mengajak seluruh ahli UMNO agar menghayati semula tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

''Ini termasuk mengisytiharkan tanah warisan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, Islam sebagai agama rasmi, menjamin kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment