Majlis Amanah Rakyat (MARA) meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan pangkat dan skim gaji baru bagi guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara.
Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh berkata ia bagi memastikan gaji guru MARA turut selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengenai kenaikan pangkat mengikut kaedah baru kepada golongan guru.
Katanya, ia merupakan antara beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan dan sehubungan itu Mara akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam tempoh terdekat ini.
"Guru MRSM juga mempunyai taraf yang sama dengan guru di kementerian dan tidak ada sebab guru-guru mara tidak mendapat taraf kenaikan gaji yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA (Muafakat) ke-7 di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.
Beliau berkata, guru di MRSM juga layak menikmati faedah sama kerana atas jasa dan sumbangan besar mereka selama ini dalam mendidik anak bangsa sehingga mampu melahirkan ramai tenaga profesional.
"Kita akan memperjuangkan nasib guru di MRSM kerana mereka juga melakukan kerja yang sama dan kita tidak mahu guru MRSM dianaktirikan," katanya
Pada masa ini, lebih 3,000 orang guru sedang berkhidmat di 45 buah MRSM di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment