Saturday, May 28, 2011

Bank Muamalat Buka Cawangan ke 56 di Jertih

Bank Muamalat Malaysia Berhad mensasarkan peningkatan pertumbuhan keuntungan antara 15 hingga 20 peratus berikutan prestasi yang memberangsangkan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata dalam tempoh 15 bulan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2010, bank itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM143 juta dan tahun ini, bagi tempoh sembilan bulan sahaja mereka telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM173 juta.

Beliau berkata tumpuan pasaran bank itu masih banyak kepada pelanggan runcit terutamanya pembiayaan peribadi, rumah dan kereta walaupun bank sentiasa memperkenalkan produk-produk baru dari semasa ke semasa.

Katanya ketika ini Bank Muamalat mempunyai 55 cawangan di seluruh negara dengan tumpuan banyak di Kuala Lumpur dan Selangor tetapi negeri-negeri lain mempunyai sekurang-kurangnya dua cawangan.

"Cawangan terbaru (ke-56) yang kita akan buat adalah di Jertih, Terengganu ...dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

"Prestasi kita baik dan mampu menjana keuntungan yang lebih tinggi. Walaupun semakin banyak bank Islam tetapi pasaran juga semakin bertambah. NPL (pinjaman tidak berbayar) kita kini pada kadar lebih rendah iaitu dua peratus," katanya kepada Bernama dan RTM dalam satu temu bual malam tadi.

Terdahulu, beliau menghadiri Forum Rakyat 1Malaysia (Forum Perdana Hal Ehwal Islam) di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim di sini.

Forum Rakyat 1Malaysia itu merupakan antara program yang diadakan sempena Karnival Komuniti 1Malaysia peringkat Negeri Kedah, anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kedah selama tiga hari bermula semalam.

Mohd Redza berkata produk Bank Muamalat juga berjaya menarik ramai pelanggan bukan Islam terutama di kalangan pelanggan korporat yang merasakan pembiayaan Islam lebih kompetitif dan lebih sesuai dengan mereka.

Mohd Redza berkata bank itu baru sahaja memperkenalkan produk pembiayaan gadaian di cawangannya di Pekan, Pahang dua minggu lepas dan akan memperluaskannya ke cawangan-cawangan lain berikutan sambutan yang baik daripada masyarakat.

Mengenai cadangan penggabungan antara Bank Muamalat dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), beliau berkata cadangan itu bagi mewujudkan satu Bank Islam Mega tetapi sukar untuk dilakukan dalam masa terdekat ini.

"Ada cadangan daripada pemegang saham (kedua-dua bank) tetapi ketika ini tiada perancangan untuk meneruskan usaha penggabungan itu. Ia adalah usaha untuk mewujudkan bank yang lebih besar dan mempunyai daya saing yang lebih tinggi.

"Bank Negara mungkin ingin melihat bank Islam yang besar dan kerana itu ada keinginan untuk memberikan lesen mega itu dalam masa terdekat. Untuk mendapatkan lesen Mega Islamic Bank itu memerlukan modal berbayar sebanyak AS$1 bilion," katanya.

No comments:

Post a Comment