Monday, May 9, 2011

Masalah Kekumbahan Boleh Jejaskan Kesihatan, Alam Sekitar

Hanya empat peratus daripada 223,850 penggunaan tangki najis di negeri ini mendapatkan perkhidmatan daripada Indah Water Konsortium Sdn. Bhd., (IWK) bagi pengurusan kumbahan yang sistematik dan berjadual.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Abd. Halim Jusoh berkata, perkembangan itu cukup membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, setakat ini penggunaan tangki septik individu di negeri ini berjumlah 80,090 unit manakala tangki tradisional 'kerek' berjumlah 143,760 unit.

"Walaupun pelbagai promosi dilaksanakan oleh IWK dengan skim pembayaran yang rendah iaitu RM6 sebulan, kesedaran masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan pembentungan masih rendah.

"Bukan sesuatu yang sukar kerana pengguna hanya perlu mengosongkan tangki septik individu atau 'kerek' di kediaman atau premis mereka sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun," katanya selepas majlis perasmian loji Unit Nyahair Mekanikal (MDU) di Taman Perindustrian Gong Badak dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Jabatan Perancangan dan Kejuruteraan IWK, Ir. Mohd. Haniffa Abdul Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Muhammad Ramli Nuh.

Loji milik IWK bernilai RM2.6 juta itu merupakan yang kedua dibina di negeri ini selepas sebuah lagi di Bandar Baru Kertih, Kemaman.

Tambah Abd. Halim, loji yang menggantikan pusat rawatan sebelum ini di Kampung Tok Jembal dekat sini berfungsi untuk mengolah enap cemar atau pepejal najis yang disedut dari tangki septik penduduk di sekitar daerah ini, Marang dan Hulu Terengganu.

Sementara itu, Mohd. Haniffa memberitahu, proses menyahair yang dilakukan di MDU Gong Badak turut menghasilkan produk sampingan daripada enap cemar kering yang dikenali sebagai bio-pepejal.

Katanya, ia digunakan dalam industri landskap terutama untuk menyuburkan tanah sebelum menanam pokok-pokok hiasan.

"Proses yang sama juga turut menghasilkan gas metana atau bio-gas yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik untuk menyalakan lampu di sekitar kawasan loji berkenaan dan dijadikan bahan bakar industri.

"IWK juga sedang mengusahakan satu lagi produk sampingan iaitu bio-efluen atau air terawat hasil daripada proses olahan di loji yang boleh digunakan untuk pembersihan serta komponen sistem penyejukan di kilang," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment