Monday, May 30, 2011

Masyarakat Cina Terengganu Diminta Bantu Barisan Nasional

Masyarakat berketurunan Cina di negeri ini diminta untuk bersama-sama membantu Barisan Nasional (BN) dalam semangat setiakawan, membantu parti ini menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata walaupun jumlah pengundi Cina di negeri ini adalah minoriti, namun peranan serta komitmen mereka sangat penting bagi membolehkan BN merampas kembali beberapa kerusi yang dimenangi parti pembangkang.

"Kita berharap masyarakat Tionghua di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dapat memberikan sokongan sepenuhnya kepada kerajan BN dan saya yakin mereka tidak ada masalah untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Bangunan Dewan Perhimpunan Tionghua Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Bangunan Perhimpunan Tionghua berkenaan yang dibina sejak tahun lalu dengan harga RM3.5 juta hasil sumbangan kerajaan negeri, yang kini mula beroperasi untuk kemudahan masyarakat Cina.

Beliau turut berharap kira-kira 9,000 pengundi Cina di negeri ini bersatu bagi membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum akan datang selain bersama-sama mencorak kestabilan politik dan pembangunan di Terengganu.

Dalam Parlimen Kuala Terengganu hanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dimenangi calon BN iaitu daripada parti MCA manakala DUN Batu Buruk, DUN Wakaf Mempelam, DUN Ladang serta Parlimen Kuala Terengganu sendiri dimenangi parti PAS.

No comments:

Post a Comment