Misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas keluar Ahad lalu, untuk menjerat burung terjawab berikutan penemuan mayat lelaki itu yang sudah berulat di dalam longkang di belakang bangunan baru Sekolah Kebangsaan Wakaf Tapai, Marang, kelmarin.
Mayat mangsa berusia 39 tahun dari Kampung Sungai Serai, Binjai Rendah, Bukit Payong, Marang ditemui anak saudaranya berusia belasan tahun, ketika gerakan mencari mangsa selepas dia tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mayat mangsa yang berulat ditemui tertiarap di dalam longkang kira-kira jam 11.50 pagi.
Menurutnya, mangsa difahamkan keluar dari rumahnya pada 1 Mei lalu untuk menjerat burung dan ayam hutan.
“Bagaimanapun, dia tidak pulang dan keluarganya juga tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Bimbang berlaku sesuatu yang buruk, anak saudara mangsa pergi ke tempat yang dimaklumkan mangsa kepadanya, sebelum dia menemui lelaki itu di dalam longkang,” katanya, semalam.
Manoharan berkata, polis yang menerima panggilan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Buat masa ini, katanya, pihaknya tidak dapat mengesahkan punca kematian mangsa dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. “Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan berulat.
“Kami sedang menunggu laporan daripada pakar patologi dari Kuantan, Pahang untuk mengenal pasti punca kejadian dan siasatan juga masih dijalankan.
“Siasatan awal yang dijalankan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata dan kami enggan membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian sehingga memperoleh hasil bedah siasat,” katanya.
Difahamkan, polis tidak menyatakan identiti lelaki itu kerana tiada laporan kehilangannya dibuat selain masih menunggu laporan bedah siasat.
No comments:
Post a Comment