Kakitangan kerajaan diingatkan agar tidak bersikap ‘gunting dalam lipatan’ dengan menyokong pembangkang, sebaliknya harus bergerak seiring dengan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai dasar untuk kemudahan serta kepentingan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sikap sedemikian juga sebenarnya satu ketidakadilan kerana gaji mereka dibayar kerajaan, dan seharusnya kakitangan kerajaan tidak mempunyai ‘tabiat’ sedemikian.
“Kita tahu ada kakitangan kerajaan yang menyokong pihak lain (pembangkang) dan kita juga telah mengenal pasti tetapi kita akan beri peluang terlebih dahulu kepada individu ini.
“Paling penting, kakitangan kerajaan dan ahli politik perlu bergerak seiring melaksanakan dasar kerajaan bukan sekadar menjadi api dalam sekam. Malah, budaya ‘punch card’ dan kemudiannya keluar minum tidak seharusnya terus dijadikan amalan kerja,” katanya.
Sebaliknya kata beliau, kakitangan kerajaan perlu tanya pada diri sendiri berapa lama masa digunakan untuk melakukan kerja yang sebenar-benarnya.
Ahmad berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Terengganu Bersama Ketua-ketua Jabatan dan Kakitangan Kerajaan Daerah Hulu Terengganu, di Kuala Berang awal minggu lalu.
Menurutnya, kakitangan kerajaan juga diingatkan agar tidak memberi perkhidmatan acuh tidak acuh kerana layanan sedemikian akan mengecewakan pelanggan, sedangkan mereka sanggup menaiki bas atau teksi untuk berurusan.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment