Wednesday, May 25, 2011

MB Serah Bendera Kepada Kontinjen Sukma 30 Mei

“Terengganu telah muncul juara dua kali berturut-turut iaitu pada Sukma Ke-12 (2008) dan Sukma Ke-13 (2010), jadi kita akan pastikan juara itu menjadi milik kita sekali lagi,” – Ketua Kontijen Sukma Terengganu, Datuk Wan Ahamad Wan Muda.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, akan menyerahkan bendera Terengganu kepada Ketua Kontinjen pasukan negeri ini yang akan menyertai kejohanan Sukan Malaysia ke-14, dalam satu majlis di Taman Tamadun Islam, pada 30 Mei ini.

Pada kejohanan Sukma yang akan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Terengganu mensasarkan 27 pingat emas di samping 18 pingat perak dan 12 pingat gangsa. Sukma akan berlangsung selama 11 hari mulai 2 Jun depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Zainal Abidin Hussin, berkata pingat emas disandarkan daripada acara kenu, basikal trek, judo dan mendayung serta beberapa acara lain.

Bagi Sukma kali ini Terengganu akan menghantar seramai 218 atlet lelaki dan wanita yang akan beraksi dalam 15 daripada 19 acara yang akan dipertandingkan sepanjang kejohanan itu.

Beliau berkata, acara yang akan disertai Terengganu ialah kenu, basikal trek, bina badan, bola jaring, bola baling, bola keranjang, bola tampar pantai, futsal, judo, lawan pedang, mendayung, ping pong, ragbi, sofball dan tenis.

“Terengganu tidak mengambil bahagian dalam acara kavadi, kriket, renang irama, polo air dan silambam,” katanya.

Zainal Abidin berkata, bagi mencapai impian Terengganu itu kekal sebagai juara Sukma, atlet telah menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lepas di bawah bimbingan 24 jurulatih dan 10 pegawai.

Beliau berkata, latihan peringkat akhir selama dua hari telah diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berakhir malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment