Wednesday, May 25, 2011

Menteri Besar Idola 1,000 Murid Tahun Enam Seluruh Kemaman

Kira-kira 1,000 murid Tahun Enam dari sekolah rendah seluruh Kemaman yang berpotensi mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini bertuah kerana berpeluang mengenali lebih dekat pemimpin utama negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sempena program `idolaku, impianku’, di Dewan Seri Amar, Chukai, Kemaman, kelmarin.

Menteri Besar diketengahkan sebagai pemimpin contoh untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada kumpulan murid berkenaan supaya turut sama meraih kejayaan dalam pelajaran serta tidak menjadikan kesusahan hidup ketika kecil sebagai alasan gagal mencapai cita-cita apabila dewasa kelak.

Seorang murid, Nabiha Johan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Geliga, berasa lebih bersemangat untuk mencapai sasaran 5A dalam UPSR nanti seterusnya menjadikan Menteri Besar sebagai ikon untuk menurut jejak pemimpin itu dalam menggapai impian apabila dewasa nanti.

Seorang lagi murid SK Seri Geliga, Iqbal Muhsali Mat Zuki, juga bercita-cita
mahu berjaya seperti pemimpin negeri itu, malah akan berusaha lebih gigih dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum peperiksaan UPSR bermula supaya dapat meraih 5A.

Manakala murid SK Bukit Kuang, Mohd Naqiuddin Alias, berpandangan program yang dilaksanakan di peringkat Kemaman itu amat bagus dan mampu menyuntik semangat dia dan rakan lain untuk belajar lebih tekun lagi seterusnya sama-sama memperolehi keputusan 5A.

“Kami amat bangga kerana dapat bersua muka dengan pemimpin (Menteri Besar) yang amat disegani. Beliau memang layak menjadi model dan ikutan kepada generasi muda supaya dapat mengikut jejak i beliau apabila dewasa kelak,” kata pengawas perpustakaan sekolah itu lagi.


Pandangan itu turut dipersetujui Mohd Ridhwan Mohd Nasir dari SK Bukit Mentok II yang bercita-cita mahu bergelar seorang pensyarah apabila dewasa kelak. Malah, bermula dari sekarang dia akan berusaha untuk menempatkan diri di sekolah menengah yang terbaik dan melangkah ke universiti pula apabila tamat alam persekolahan nanti.

“Saya mahu skor 5A dan mencapai cita-cita saya serta membuktikan kepada guru serta keluarga bahawa saya mampu lakukan yang terbaik. Program hari ini antara pendekatan terbaik yang dapat memberi motivasi kepada kumpulan murid yang berpotensi berjaya seperti kami,” katanya yang tinggal di Bandar Baru Bukit Mentok itu lagi.

Manakala seorang murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chukai, Aireen Arwina, juga berbangga kerana terpilih menyertai program itu dan persaingan belajar di sekolah yang majoriti berbangsa Cina menuntut dia belajar lebih gigih untuk sama-sama menempatkan diri dalam kelompok murid terbaik.

Anak sulung daripada empat beradik yang mampu berbahasa Mandarin dengan baik menjadikan Menteri Besar sebagai model pemimpin yang wajar dicontohi kerana mampu berjaya walaupun hidup dalam serba kekurangan.

“Jika Menteri Besar hidup dalam serba kesusahan dapat berjaya dan menjadi orang yang disegani, saya yang mendapat pendidikan yang baik dan dibesarkan oleh bapa seorang jurutera dan ibu berkhidmat sebagai pensyarah sepatutnya boleh melakukan lebih baik daripada beliau,” katanya lagi.

Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment