Sebanyak 150 peralatan dan artifak serta peralatan perang zaman dahulu kini dipamerkan kepada umum dalam Pameran Tamadun Islam yang akan berlangsung selama 19 hari bermula 25 Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata pameran bertempat di Taman Awam Batu Buruk, di Kuala Terengganu, adalah julung kali diadakan di negeri Terengganu.
Katanya pameran itu bertujuan mengetengahkan artifak Islam sebagai material pameran untuk dipertonton kepda khalayak umum agar ia sinonim dengan arus kemodenan Islam.
"Selain itu ia juga untuk memberi kesedaran tentang kepentingan sejarah Islam dalam peradaban manusia sejagat," katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Pameran Tamadun Islam di Kuala Terengganu, semalam.
Katanya pameran seumpama itu mampu meningkatkan kesedaran umat Islam, sekaligus para pengunjung khususnya pelajar juga dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai sejarah Islam.
Beliau berkata bayaran sebanyak RM10 dikenakan bagi golongan dewasa, manakala pelajar berpakaian sekolah dan kanak-kanak yang berumur tujuh hingga 12 tahun hanya dikenakan bayaran sebanyak RM5.
Katanya selain peralatan perang seperti pedang dan belati, turut dipamerkan peralatan perubatan dan perundangan, peralatan adat dan budaya serta peralatan astronomi yang digunakan pada zaman kegemilangan Islam.
Pameran itu dianjurkan sebuah syarikat, Dynasty Event Sdn Bhd dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu.
No comments:
Post a Comment