Sunday, May 29, 2011

Peteh Juara Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo!

Pemenang kategori Bawah 12 Tahun bergambar bersama hadiah masing-masing malam tadi.



Pasukan dari Terengganu, Peteh menjuarai kategori Lelaki Bawah 12 Tahun pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya malam semalam.




Pada aksi final yang mendebarkan, Peteh berjaya menewaskan Abyad Dani 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 2-2.


Penjaga gol Peteh, Wan Mohd. Iqmal Hafizi Wan Mazlan menyempurnakan sepakan penalti terakhir pasukan itu.

Ia sekali gus menebus kekecewaan Peteh yang sekadar muncul naib juara tahun lalu setelah mereka yang menggunakan nama Sinaran Muda ketika itu tewas dalam penentuan sepakan penalti kepada Furson SKDN dalam aksi final tahun 2010.


Jurulatih Peteh, Mohd. Syamil Hasim berkata, sasaran Peteh pada saingan kali ini sememangnya untuk mara sehingga ke final dan menebus kekalahan tahun lalu.


"Hanya tiga pemain tahun lalu dikekalkan kerana yang lain sudah lebih umur. Kami mengumpul pemain-pemain dari sekitar Kemaman, Kerteh dan Kemasik untuk pasukan yang bernaung di bawah Persatuan Belia Sinaran Muda ini.


"Walaupun ketinggalan 1-2, para pemain memang bersemangat untuk bergelar juara dan kami sememangnya sudah berlatih sepakan penalti kerana tak mahu pisang berbuah dua kali," kata Syamil ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan akhir.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan, Engku Azman Sayed Mohd. Turut berada di pentas ialah Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.


Kapten Peteh, Mohd. Zarif Fahmi Zalani yang menjaringkan gol kedua untuk mengikat kedudukan 2-2 pada aksi final itu telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kategori Lelaki Bawah 12 Tahun.


Sementara itu, satu lagi pasukan yang dilatih Mohd. Syamil iaitu Penyu berjaya meraih tempat ketiga selepas menewaskan Sri Remaja Kapar 2-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.


Pada separuh akhir, Penyu tewas 1-2 kepada Abyad Dani dari Puchong manakala Sri Remaja Kapar tewas 1-2 kepada Peteh.


Kosmo!

No comments:

Post a Comment