Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang tidak ubah sebagai "rakan bantal yang janggal", dengan kepentingan dan tujuan parti itu amat berlainan berbanding parti lain dalam pakatan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata PAS terpaksa berkompromi dengan DAP terutama perkara yang membabitkan perjuangan asal parti itu yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.
"Sekarang ini PAS terpaksa kompromi, jikalau ia sebut perkara itu (perjuangan tubuh negara Islam) DAP akan melenting. Karpal (Singh) pernah menyebutnya 'over my dead body', dan diulanginya dalam pilihan raya negeri Sarawak. Ia adalah konfrontasi terangan (terhadap PAS).
"Strange bed partner (kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang). Sebab itu apa perlu PAS duduk dalam (pakatan)... ia tidak sustainable (tidak menguntungkan). Pandangan kita dari luar, ia (PAS dalam pakatan pembangkang) adalah sesuatu yang luar biasa," katanya.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata demikian selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di Dewan Sri Pekembar di Muar, semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melakukan lawatan ke Terengganu semalam, meminta PAS keluar daripada pakatan pembangkang yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.
Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.
Muhyiddin berkata sebagaimana yang berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak, PAS turut diketepikan oleh parti lain dalam pakatan pembangkang apabila ia berkempen secara bersendirian tanpa menerima bantuan daripada Parti Keadilan Rakyat atau DAP.
Umno, kata Timbalan Perdana Menteri, sentiasa bersikap terbuka dan seringkali menyuarakan betapa pentingnya perpaduan Melayu serta Islam.
"Kita berjuang untuk bangsa, agama dan negara tanpa mengetepikan kepentingan agama lain. Kepentingan untuk perpaduan Melayu itu perlu dijalin dan kita bersikap terbuka dalam soal kerjasama (dengan PAS) atau lebih dari itu," katanya.
No comments:
Post a Comment