Wednesday, May 4, 2011

Pasta Promosi Sepak Takraw Di Kalangan Pelajar Australia

Pasukan Akademik Sepak Takraw Negeri Terengganu (PASTA) sekali lagi diundang oleh Persatuan Sepak Takraw Australia untuk mempromosi permainan itu di kalangan pelajar sekolah, kolej dan universiti selama 10 hari mulai esok.

Pengerusi PASTA Dr Mohamad Omar berkata ini berikutan sudah ada minat di kalangan pelajar negara itu terhadap sukan sepak takraw ekoran kunjungan PASTA tahun lepas.

"Kita dapati pelajar di sana sudah ada yang minat sepak takraw dan ini merupakan satu petanda baik yang sepak takraw boleh berkembang di Australia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian hari Kesihatan Sedunia dan Hari Penyakit Kronik peringkat negeri Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Setiu, semalam.

Dr Mohamad, yang juga Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, berkata PASTA yang berpusat di Sekolah Menengah Padang Midin, Kuala Terengganu akan menghantar dua pasukan untuk mengadakan demonstrasi permainan itu.

Katanya Persatuan Sepak Takraw Australia berpendapat untuk mempromosikan sukan sepak takraw, ia memerlukan lebih penglibatan akar umbi iaitu di peringkat sekolah lagi.

"Jadi mereka rasa adalah lebih baik mereka menjemput PASTA yang melibatkan semua pelajar akademik untuk promosi sukan itu di sana," katanya.

Beliau berkata sekarang jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak terbentuk dan diharap permainan sepak takraw di Australia akan berkembang dan maju pada masa akan datang.

Katanya pemergian PASTA ke Australia dibantu kerajaan negeri manakala semasa di sana semua perbelanjaan dibiayai kerajaan Australia.

Selain mengadakan promosi, PASTA akan menyertai kejohanan sukan Arafura yang merupakan kejohanan pelancongan sukan yang disertai lebih 30 buah negara di Darwin.

"Sepak takraw adalah salah satu acara di kejohanan sukan Arafura dengan tujuh atau lapan pasukan dari negara lain bertanding," katanya.

No comments:

Post a Comment