Sunday, May 8, 2011

Pemasangan Kabel Elektrik Di Kawasan Bebas Cukai Tasik Kenyir Bermula

Usaha awal menjadikan Tasik Kenyir kawasan bebas cukai sudah dimulakan dengan pelaksanaan kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik dari Kampung Kuala Ping ke Pulau Bayas di kawasan tasik berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerja-kerja pemasangan kabel sepanjang 23kilometer yang melibatkan peruntukan kira-kira RM33 juta itu sedang dijalankan dan ia dijangka siap akhir tahun ini.

"Bekalan elektrik perlu disediakan terlebih dahulu di Pulau Bayas sebelum memulakan kerja-kerja membina rangkaian kedai dan lot-lot perniagaan, jeti persinggahan, hotel dan rumah-rumah penginapan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Kenyir 2011 selama tiga hari mulai Jumaat anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di pangkalan Gawi, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu. Majlis turut dihadiri oleh Pengurus Besar Ketengah Hamzah Ngah.

Festival tahunan itu diadakan untuk mempromosi Tasik Kenyir yang merupakan antara destinasi pelancongan yang menarik di Terengganu.

Ahmad Said berkata walaupun kawasan bebas cukai Tasik Kenyir dijangka dapat disiapkan pada Ogos tahun depan, tetapi pembangunan beberapa pulau di sekitar kawasan bebas cukai itu sudah siap dan ada yang sudah dibuka.

Katanya antara pulau yang sudah dibuka kepada orang ramai ialah pulau burung yang menempatkan pelbagai spesis burung dan itik daripada luar negara manakala pulau yang dijadikan taman orkid dan taman rama-rama pula dijangka siap secara berperingkat Julai ini.

"Kami juga menyediakan sebuah pulau yang dengan tanaman pelbagai jenis buah-buahan tempatan yang hampir pupus dan pokok-pokok berkenaan ada yang dah mula berbuah," katanya.

Ahmad Said berkata bagi menarik pelabur supaya menanam modal seperti mendirikan hotel dan rumah-rumah rehat, kerajaan perlu memulakan dahulu pembangunan di kawasan berkenaan.

"Sebab itu untuk melengkapkan kawasan bebas cukai itu, kami juga akan mewujudkan taman tema khas untuk kanak-kanak, manakala untuk wanita pula disediakan taman orkid selain barang-barang menarik yang boleh didapati di kawasan bebas cukai," katanya.

Sementara itu katanya ketibaan pelancong ke Tasik Kenyir sejak dua tahun lepas didapati meningkat dengan ketara, di mana pada tahun 2009, 160,000 pelancong berkunjung ke tasik itu, dan jumlahnya meningkat kepada 200,000 tahun lepas.

"Kita sasarkan kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir tahun ini sehingga 350,000 dan apabila kawasan bebas cukai siap kelak, tidak mustahil kawasan itu menjadi antara destinasi pelancongan yang unik lagi menarik dalam negara," katanya.

No comments:

Post a Comment