Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan pihak yang menabur fitnah terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengaitkannya dengan rakaman video seks agar tampil memohon maaf.
Beliau berkata, fitnah adalah salah satu daripada dosa besar dan sesiapa terlibat dengannya tidak akan diampunkan dosanya oleh Allah selagi dia tidak bertaubat dan meminta maaf daripada orang yang difitnah.
“Anwar bukan batang kayu. Dia pun tahu malu. Dosa orang yang buat fitnah tidak akan merasa nikmat kubur apatah lagi hendak masuk syurga melainkan kena minta maaf dengan Anwar. Itu pun kalau Anwar bagi,” katanya dalam ceramah Perdana ‘Pas ganti UMNO di Kampung Setia, Kuang, malam kelmarin.
Menurutnya, orang Islam sepatutnya menjauhi dan mengelakkan diri dari memfitnah orang dan jika fitnah itu dibuat secara terbuka, individu terlibat itu wajib meminta maaf juga secara terbuka.
“Kenapa kita mesti hendak malukan dia, kita mengumpat dengan hanya seorang sahaja pun sudah boleh buat orang yang difitnah itu terasa apatah lagi jika fitnah ini dibuat secara terbuka sampai semua orang tahu,” katanya.
Nik Aziz tidak menolak kredibiliti Anwar sebagai pemimpin berlandaskan syiar Islam adalah faktor kemaraan politiknya disekat kepimpinan UMNO-BN yang khuatir akan kehilangan kuasanya.
Dalam ucapannya itu, Nik Aziz menyifatkan perbalahan isu agama dan kaum hanya membuka ruang kebencian terhadap masyarakat yang pelbagai.
Menurutnya, fokus pemerintah seharusnya menjurus ke arah penyatuan rakyat seperti mana yang diuar-uarkan dalam slogan 1Malaysia.
Berikutan itu, Nik Aziz mengingatkan kaedah politik terbaik bagi struktur masyarakat kompleks seperti di Malaysia adalah politik yang selari dengan Islam.
Beliau sebelum itu menerima penyerahan borang 114 bekas ahli UMNO Cawangan Kampung Melayu Seri Kundang yang diserahkan sendiri oleh bekas ketuanya, Mat Senin Mat Lana.
Mat Senin ketika ditemui berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan kepimpinan UMNO Bahagian Selayang sebaliknya mahu menyertai Pas kerana tidak yakin dengan kepimpinan pucuk pimpinan Barisan Nasional yang ada sekarang.
No comments:
Post a Comment