Thursday, May 5, 2011

Penyu Perlu Menang Semua Perlawanan

Analisis: Shahrir Hamid

Pasukan bolasepak Terengganu perlu menang kesemua baki perlawanan serta mengharapkan pasukan Kelantan dan Selangor tewas kepada lawan pada perlawanan akan datang dalam usaha merebut takhta Liga Super.

Terengganu terus mengejar rapat di belakang Selangor dan Kelantan apabila megumpul 35mata daripada 17 perlawanan dan dibezakan 1 mata daripada pendahulu liga.

Malam semalam, Terengganu menewaskan Perlis 3-1 di halaman sendiri bagi memastikan tiga mata penuh berjaya diperolehi.

Pada masa yang sama, Selangor dan Kelantan turut mencapai kemenangan di arena lawan. Pasukan Terengganu di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti bermula hambar pada babak pertama perlawanan.

Peluang tersebut dimanfaatkan anak buah Md Salim Topel Mohd apabila ayam tambatan pasukan lawan Shahrul Hanizan Mohd membuat lambungan cantik melepasi penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee pada minit ke 17.

Namun, percaturan menjadi Irfan memasukkan ketua pasukan, Marzuki Yusof menggantikan Roni Harun di bahagian pertahanan dan Manaf Mamat di bahagian serangan nyata menaikkan semangat skuad Penyu

Dua ledakan gol daripada Manaf pada minit ke 54 dan 76 serta gol Ashaari minit ke 67 memastikan skuad Penyu tersenyum mengenepikan cabaran Singa Utara di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Permainan tidak konsisten Terengganu pada separuh masa pertama diakui sendiri oleh Pengurus Skuad Penyu, Dato’ Che Mat Jusoh selepas perlawanan semalam apabila bahagian pertahanan sering melakukan kesilapan.

Beliau berkata, gol pertama lawan berpunca daripada barisan pertahanan yang membiarkan pihak lawan mudah bertindak dengan banyak melakukan asakan kepada pasukan tuan rumah pada separuh masa pertama.

Che Mat berkata, Manaf yang mengalami kecederaan ketika pertemuan dengan Sabah terpaksa dimasukkan bagi mempertajamkan jentera serangan dan ternyata pemain itu bijak melakukan penyudah tajam dengan menjaringkan dua gol berharga.

Beliau berkata, Terengganu sepatutnya dapat menambahkan sekurangnya beberapa gol lagi melalui Manaf dan Ismail Faruqi tetapi ketangkasan penjaga gol pihak lawan menafikannya.

Che Mat berkata, jika jaringan gol oleh Manaf Mamat tidak dibatalkan oleh pengadil perlawanan terakhir pemainan sudah tentu pemain itu dapat melakukan hatrik malam kelmarin.

Beliau mengucapkan taniah kepada semua pemain yang bermain dengan baik untuk memastikan Perlis pulang hampa setelah gagal mencuri sebarang mata di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

No comments:

Post a Comment