Rangkaian kedai serbaneka 24 jam, T-Shoppe telah dilantik sebagai perunding Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) di negeri ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, T-Shoppe diberi peranan untuk memodenkan operasi kedai runcit tradisional dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.
Menurutnya, peniaga kedai runcit ini akan dibantu dari segi reka bentuk kedai yang menarik, amalan pengurusan yang cekap dan selamat serta aplikasi sepenuhnya sistem maklumat dalam operasi perniagaan.
"Sebagai mentor, T-Shoppe diamanahkan untuk membimbing pengusaha yang disasarkan supaya operasi kedai runcit mereka menjadi lebih berdaya maju dengan identiti tersendiri.
"Kita menyasarkan untuk membentuk 30 kedai runcit dengan imej lebih baik pada tahun ini," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 Dewan Perniagaan Islam Malaysia cawangan Terengganu (DPIMT), kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi DPIMT, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang dan wakil Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Datuk Seri Mohd. Yusof Latif.
Program Tukar diperkenalkan oleh KPDNKK membabitkan peruntukan RM30 juta selepas mendengar luahan hati serta masalah yang dihadapi peniaga kedai runcit yang sukar bersaing dengan pasar raya.
Sebanyak 600 kedai runcit tradisional di negara ini bakal dimodenkan menerusi kerjasama kerajaan dengan pasar raya atau outlet terpilih seperti Tesco, Carrefour, Mydin, AEON, Giant dan Econsave secara percuma.
Sementara itu, kata Mohamed, walaupun perniagaan T-Shoppe mencatatkan jualan memuaskan, sasaran untuk menjual 30 peratus produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan masih jauh ketinggalan.
Katanya, T-Shoppe yang kini mempunyai 21 cawangan di seluruh negara hanya mampu menjual sehingga dua peratus produk keluaran IKS tempatan.
"Hasil kajian kita, faktor pelabelan dan pembungkusan serta minda masyarakat yang merasakan produk luar lebih baik turut menjadi masalah kenapa produk ini tidak begitu mendapat sambutan, " katanya.
No comments:
Post a Comment