Isu siapa harus menanggung kos penalti RM500,000 akibat penangguhan kerja memperbaiki trek Stadium Nasional, Bukit Jalil selesai kelmarin selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akhirnya mencapai formula yang akan menguntungkan kedua-dua pihak.
FAM tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar penalti, sebaliknya badan bola sepak kebangsaan itu akan menyewa stadium berkenaan untuk enam perlawanan dan bayaran sewa tersebut sudah cukup bagi menampung kos penangguhan, kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.
Perlawanan yang bakal diadakan di Stadium Nasional sepanjang Jun dan Julai nanti adalah final Piala FA di antara Terengganu dan Kelantan (11 Jun), kelayakan Sukan Olimpik 2012 (menentang Lebanon, 19 Jun), kelayakan Piala Dunia (Taiwan, 29 Jun) serta tiga perlawanan melibatkan kelab Liga Perdana England - Arsenal (13 Julai), Chelsea (21 Julai) dan Liverpool.
Malah kata Azzuddin, perlawanan boleh bertambah menjadi tujuh sekiranya Malaysia mengalahkan Taiwan pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia, sekali gus menempah pertemuan dengan Singapura.
Pihak mana yang harus menanggung kos penangguhan kerja-kerja membaiki trek Stadium Nasional sebanyak RM500,000 untuk penganjuran beberapa perlawanan bola sepak, menjadi tanda tanya kelmarin.
Ini ekoran kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kelmarin yang berkata, perbincangan lanjut akan diadakan di antara pihak terlibat berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, siapa yang akan menanggung kos penangguhan tersebut akan dibincangkan bersama pihak yang terlibat iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kontraktor dan Perbadanan Stadium.
Tegasnya, beliau tetap berharap beberapa perlawanan penting seperti final Piala FA antara Kelantan dengan Terengganu, perlawanan skuad kebangsaan menentang tiga kelab Liga Perdana England dan beberapa perlawanan antarabangsa yang lain dilangsungkan di venue tersebut.
Bagaimanapun, isu itu kini selesai selepas persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dengan Ahmad Shabery di Putrajaya kelmarin, yang disifatkan oleh Azzuddin sebagai penyelesaian adil dan situasi 'menang-menang' buat kedua-dua pihak.
"FAM akan bayar sewa seperti biasa, termasuk untuk tiga perlawanan menentang kelab Liga Perdana England, tentang bagaimana pihak stadium hendak menyelesaikan pembayaran kos penangguhan kepada kontraktor, itu terserah kepada mereka.
"Bagaimanapun hasil sewa untuk enam perlawanan yang bakal diadakan nanti cukup untuk menampung bayaran RM500,000 yang dikenakan, namun KBS dan pihak stadium masih berunding untuk cuba mengurangkan penalti,'' kata Azzuddin ketika ditemui pada majlis pengumuman Jelajah Arsenal ke Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Jelas Azzuddin lagi, tiada kadar tambahan dikenakan ke atas sewa kesemua perlawanan itu kerana KBS dan FAM berkongsi matlamat yang sama iaitu menyokong bola sepak tempatan.
"FAM ingin menyatakan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan kerana membenarkan kami menggunakan Stadium Nasional, ia adalah demi kepentingan bola sepak negara, pemain serta peminat,'' katanya.
Kenyataan Azzuddin itu turut disokong Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menganggap isu Stadium Nasional kini selesai dan pembayaran yang diberikan badan bola sepak itu dapat membantu pihak perbadanan stadium.
Mengenai berapa kos sebenar yang perlu dikeluarkan oleh FAM untuk sewa kesemua perlawanan tersebut, Tengku Abdullah menegaskan, perkara tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.
"Yang penting ia selesai dan kami ingin mengucapkan terima kasih di atas kerjasama Menteri kerana membenarkan kami menggunakan stadium tersebut,'' ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment