Selepas menjuarai kategori CP130 pada Pusingan 3 di Kuala Terengganu minggu lalu, Azlan Shah Kamaruzaman terpaksa menarik diri daripada menyertai Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Presint 3 Putrajaya, minggu ini.
Pelumba TEQ SCK Honda Racing itu terpaksa melupakan hasrat untuk merebut podium kerana tarikh Pusingan 4 yang diadakan bersempena Hari Belia Negara jatuh serentak dengan hari pernikahannya bersama tunangnya, Nabila Mohd. Nassim Akhtar.
Walaupun gembira dan tidak sabar untuk mengakhiri zaman bujang, Azlan bersedih kerana terpaksa melupakan perlumbaan minggu ini, apatah lagi selepas meraih kemenangan pertamanya sejak mula beraksi dalam kategori Expert/CP130 pada tahun 2007.
Pelumba berusia 27 tahun itu berkata: “Pada asalnya tiada perlumbaan dijadualkan pada 29 Mei ini.
“Saya tidak menyangka perlumbaan di Alor Setar dan Terengganu terpaksa ditunda, sekali gus meletakkan Pusingan 4 pada hujung minggu ini.
“Ketika kalendar baru diumumkan, segala persiapan telah pun dibuat dan saya tidak dapat berbuat apa-apa.
“Saya begitu gembira dan tidak sabar untuk bergelar suami dan memulakan hidup berkeluarga.
“Namun, pada masa yang sama saya sedikit kecewa kerana tidak dapat beraksi minggu ini. Tambahan pula prestasi dan keadaan jentera Honda saya berada pada tahap optimum ketika ini.”
Azlan menduduki tempat kelapan keseluruhan CP130 dengan 25 mata.
Begitupun, Azlan optimis dan berpendapat ini hanyalah halangan kecil dalam usahanya untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
“Walaupun terlepas peluang beraksi, tidak pernah terlintas pada fikiran saya untuk menyerah kalah. Ini hanya satu pusingan dan masih ada baki enam pusingan untuk merebut kedudukan podium.
“Tambahan pula, motivasi saya pasti bertambah dengan majlis perkahwinan saya minggu ini,” ujarnya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Soong Chee Kieong mengucapkan tahniah buat Azlan.
No comments:
Post a Comment