Sunday, May 22, 2011

T-Team Melonjak, Terengganu Mendekati Kelantan, Selangor Buru Piala Super

Siapa kata pasukan kelab dari Terengganu, T-Team tidak bertenaga dan pasukan belasahan?

Jika menang di Kota Kinabalu hari ini, T-Team mungkin berada di tempat kelima Liga Super dan mengatasi pasukan kelab lain, khususnya Felda.

Yunus Alif, jurulatih T-Team mungkin menjadi orang paling gembira selepas pasukannya di 'belasah' penyokong baru-baru ini.

Malah kedudukan T-Team akan kekal mengatasi pasukan lebih terkenal seperti Negeri Sembilan serta Pahang.

Berbekalkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor petang Khamis lalu, T-Team tengah hari semalam berlepas ke Sabah untuk mengutip tiga lagi mata.

Sementara Selangor kini dilihat hilang taring di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila gagal mempertahankan penguasaan liga setelah tumpas 1-2 kepada T-Team.

T-Team terlebih dahulu menjaringkan dua gol masing-masing menerusi tandukan Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-38 dan Indra Putra Mahyuddin menanduk gol kedua hasil hantaran Rosdi Talib pada minit ke-82.

Gol tunggal Selangor hadir pada minit ke-76 apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah Rosdi Talib mengasari Mohd Amirulhadi Zainal dalam kotak penalti dan gol pelawat itu telah disempurnakan oleh Safiq Rahim.

Bagi Selangor, kekalahan 2-1 kepada T-Team yang meletakkannya satu mata di belakang pendahulu, Kelantan sedikitpun tidak merencat perancangan K Devan (gambar kiri) untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.

“Bercakap mengenai peluang musim ini, saya sudah nampak piala Liga Super di depan saya,” kata Devan mengenai peluang Gergasi Merah mempertahankan kejuaraan musim ini. “Kami hanya ketinggalan satu mata dan masih ada enam perlawanan berbaki.

“Saya rasa belum masanya untuk panik kerana kelebihan berpihak Selangor yang mempunyai empat perlawanan di gelanggang sendiri selepas ini. Sebaliknya Kelantan dan Terengganu, masih perlu bertemu sesama sendiri.”

Devan bagaimanapun mengakui kecewa gagal membawa pulang mata dari Kuala Terengganu, sekali gus menyaksikan penyandang juara itu tergelincir ke tangga kedua, diapit Kelantan dan Terengganu dengan beza satu mata.

“Keputusan ini tidak menggambarkan prestasi sebenar Selangor,” kata Devan. “Ketiadaan enam tonggak utama yang cedera menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan ini. Pemain juga tidak cukup rehat kerana baru saja menamatkan saingan Piala FA di Kelantan sebelum ini.

“Jadi tewas tipis kepada T-Team yang mempunyai rehat mencukupi serta mungkin sudah biasa bermain pada sebelah petang, membuktikan kesungguhan pemain. Saya puji usaha mereka walaupun pulang hampa.”

Pada perlawanan berkenaan, T-Team membuka jaringan menerusi Zairo Anuar Zailani pada minit ke-38 sebelum Safiq Rahim menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-76 tetapi kelalaian membolehkan Indra Putra Mahayuddin menanduk gol kemenangan pada minit ke-82.

Terengganu juga mampu mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam tiga perlawanan terakhir tetapi kekal di tangga ketiga liga dengan kekurangan satu mata di belakang Selangor.

Terengganu menang tipis 2-1 ke atas Harimau Muda A di Stadium Shah Alam sebelum ini.

Di Kuantan pula, Pahang mensia-siakan peluang kelebihan bermain di tempat sendiri apabila tumbang 0-2 di tangan Kuala Lumpur di Stadium Darul Makmur.

Dua gol Kuala Lumpur masing-masing dijaringkan menerusi tandukan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-50 dan See Kok Luen yang membuat rembatan kencang ke gawang Pahang pada minit ke-65.

Kekalahan mengejut 1-2 Selangor kepada T-Team nyata memberi ruang untuk Kelantan merampas kembali takhta Liga Super setelah mengalahkan Felda United 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, juga Khamis lalu.

Keputusan itu membolehkan Kelantan memintas Selangor sebagai peneraju kedudukan liga dengan kelebihan satu mata, selepas mengumpul 43 mata dalam 20 perlawanan.

Kelantan memulakan perlawanan dengan agresif dan jaringan pembuka tirai hadir pada minit ke-30 hasil tandukan Mohd Badhri Mohd Radzi dari tendangan lambung Mohd Daudsu Jamaludin untuk menewaskan penjaga gol Felda United Mohd Hamsani Ahmad.

Skuad Red Warriors terus menggandakan asakan selang babak kedua bermula dan gol kedua Kelantan terhasil pada minit ke-46 hasil jaringan gol sendiri oleh pemain Felda United, Rashid Mahmud.

Namun Felda mengurangkan defisit apabila tendangan percuma Md Hasmarul Fadzir Hassan dari luar kotak penalti telah menembusi gawang Kelantan pada minit ke-84.

Lima minit kemudian Kelantan menjaringkan gol penutup tirai menerusi penalti yang disempurnakan oleh penjaring terbanyak liga, Norshahrul Idlan Talaha.

Di SEREMBAN, Negeri Sembilan tampil bertenanga apabila menang 2-1 ke atas Johor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan apabila Shahurain Abu Samah menjaringkan gol seawal minit ketujuh dan Shukur Adan merembat masuk bola ke gawang lawan pada minit ke-38 untuk gol kedua sementara gol tunggal Johor FC dijaringkan oleh Mohd Riduwan Ma'on pada minit ke-51.

Di IPOH, Md Rozaimi Abd Rahman membantu Sabah mengutip satu mata apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan untuk seri 1-1 dengan Perak di Stadium Perak.

Perak membuka tirai jaringan menerusi Shahrulnizam Mustafa pada minit ke-52.

No comments:

Post a Comment