Tuesday, May 17, 2011

TAHNIAH! Terengganu Mampu Jadi Juara Berganda - Piala FA & Liga Super - Musim Ini

Ahmad Said turut menyaksikan perlawanan semalam untuk memyumtik semangat kepada pasukan Terengganu. - Gambar Harith Fadzillah

Analisis Aqil Farhan Rafiqin

Pada ketika peminat dan penyokong Terengganu malam semalam pastinya pulang penuh kegembiraan dan berpuas hati, pemain pula mungkin sedang menaruh harapan tinggi untuk menang berganda tahun ini.

Tahniah untuk pengurusan dan pemain pasukan Terengganu. Ingatlah sokongan padu peminat, penyokong dan kerajaan negeri jangan dipersia-siakan. Kerajaan negeri pula tahu mengiktiraf pasukan yang perform.


Setidak-tidaknya Terengganu kini sudah ada finalnya untuk musim ini selain mengintai gelaran Juara Premier Liga Malaysia.

Kemenangan berganda ke atas Pahang dengan 3-2 dalam perlawanan separuh akhir yang pertama, di Stadium Darul Makmur Jumaat lalu dan malam semalam 2-0 pastinya menggembirakan seluruh pasukan, apa lagi jurulatihnya, Irfan Bakti.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta semua rakyat negeri ini memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pasukan Terengganu yang menentang pasukan jiran, Pahang semalam.

Selain itu, Menteri Besar turut meminta penyokong pasukan Terengganu yang membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bagi menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir itu menjaga tingkah laku dan menunjukkan disiplin yang tinggi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ternyata, selain kemenangan, penonton yang menyaksikan menunjukkan tanda kesukanan yang tinggi walaupun ada ketika itu mereka bagaikan tidak puas hati kepada sesuatu.

Namun dengan meraih kemenangan berganda pada separuh akhir ini akan membolehkan peminat Terengganu ‘bertembung’ dengan peminat Kelantan pada satu vanue yang belum ditetapkan.

Apapun, peminat bolasepak Terengganu boleh bersiap sedia kerana perlawanan akhir antara kedua-dua pasukan dari Pantai Timur itu akan berlangsung 11 Jun dan bergantung kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan venue perlawanan tersebut.

Perlawanan ini juga merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan dalam saingan akhir merebut gelaran Piala FA setakat ini.

Pada sidang media selepas menyampaikan bantuan persediaan Yayasan Terengganu ke Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Matrikulasi/Diploma Sesi 2011/2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, pada sebelah pagi semalam, Ahmad Said berjanji beliau akan sama-sama menyokong pasukan Terengganu.

“Berilah sokongan kepada pasukan Terengganu. Pada masa yang sama, tunjukkan disiplin sepanjang menyaksikan perlawanan. Jangan lempar benda yang tidak sepatutnya seperti botol air minuman, mercun, bunga api. Kena jaga tatasusila dan disiplin serta tidak mencetuskan provokasi. Bersorak boleh dan saya juga insya-Allah akan turut sama memberi sokongan kepada pasukan negeri kita,” katanya pada sidang media itu.

Dan beliau mengotakan kata-katanya apabila turut menyaksikan perlawanan itu.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri mengharapkan Terengganu mampu mengulangi kejayaan melangkah ke final Piala FA dan mampu membawa pulang piala itu pada musim ini.

Ketika ditanya mengenai imbuhan yang mungkin ditawarkan kepada pemain jika mampu bergelar juara kelak, beliau tidak mahu menjanjikan apa-apa habuan lagi.

Yang beliau inginkan ialah pemain membuktikan keupayaan terlebih dahulu dan berjaya mara ke final serta menggenggam Piala FA untuk musim ini.

Jadi sementara menunggu 11 Jun itu, peminat dan penyokong bolasepak Terengganu perlu menyokong pasukannya mengejar Selangor dan Kelantan untuk memburu Juara Liga.

Segalanya mungkin kerana Terengganu kini berada di tempat ketiga dengan perbezaab mata yang kecil.

Ketika ini Kelantan menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 40 mata, kurang dua mata di belakang Selangor sementara Terengganu dengan 38 mata.

No comments:

Post a Comment