Perkhidmatan awam yang cemerlang penting bagi melaksanakan dasar-dasar yang digubal dan membantu usaha kerajaan melaksanakan pentadbiran dan pembangunan.
Ini kerana keberkesanan dan kecekapan jentera pelaksana bergantung kepada prestasi dan komitmen penjawat awam dalam merancang dan melaksana tindakan serta menilai semula sesuatu program yang dijalankan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata oleh itu setiap anggota perkhidmatan awam seharusnya mempunyai semangat untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan segala dasar dan perancangan kerajaan dalam memaju dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat tercapai.
Menteri Besar, berkata kecemerlangan diri dan organisasi mampu mempercepatkan lagi pembangunan negara mahupun negeri, terutamanya dengan usaha kerajaan sekarang untuk mentransformasikan perkhidmatan awam.
Berikutan itu, proses transformasi perlu dilalui demi menyahut tuntutan global dan inisiatif perlu bermula dari sekarang jika tidak pasti akan ketinggalan.
”Kerajaan memperkenalkan pelbagai konsep seperti Penarafan Bintang (Star Rating) ke atas agensi-agensi kerajaan, 5S bagi meningkatkan kualiti persekitaran kerja, MS ISO 9001 bagi mendokumentasikan urusan kerja ke arah lebih sistematik,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011, di Wisma Darul Iman kelmarin (24 Mei 2011).
Katanya, kerajaan akan terus berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam selaras dengan gagasan Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan Terengganu serta 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan di peringkat nasional yang telah diperkenalkan.
“Kita seharusnya mempunyai sikap mahu melakukan yang terbaik dalam melaksanakan kerja dan tanggungjawab yang diamanahkan dan kepuasan bekerja apabila usaha kita telah membawa kepada pencapaian,” katanya.
Selain itu katanya, sikap jati diri yang tinggi serta sentiasa cintakan tanahair menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan yang berperanan besar bagi memastikan kejayaan dan keharmonian sesebuah negara.
Tambahnya, bukan mudah untuk melaksanakan sesuatu perancangan tanpa sokongan padu daripada semua penjawat awam di negeri ini justeru kerajaan dan rakyat saling memerlukan.
“Kerajaan secara asas adalah mekanisma kolektif rakyat bagi melaksanakan aspirasi yang tidak dapat dilakukan dengan berkesan secara bersendirian seperti memelihara keselamatan, memastikan kebajikan dan mencipta kemakmuran,” katanya.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment