Wednesday, May 11, 2011

Terengganu Terima Baki Royalti Minyak Pada Jun

Pastinya ini bukan bisik-bisik mengenai Petronas tetapi perkara lain. Wahid Endut menemui Ahmad Said si luar persidangan DUN kelmarin.

Kerajaan Terengganu dijangka menerima semua baki wang royalti minyak sebanyak RM118 juta daripada Petronas melalui Kementerian Kewangan bulan hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia merupakan sebahagian daripada RM938 juta yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri.

"Pembayaran pertama wang royalti berkenaan berjumlah RM670 juta telahpun dibuat pada Mac lalu manakala RM150 juta diterima minggu ini dan bakinya sebanyak RM118 juta dijangka diterima bulan hadapan," katanya.

Beliau menyatakannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari Selasa sebagai menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) yang meminta penjelasan berhubung jumlah wang royalti yang telah diterima sehingga Mac 2011.

Katanya, sehingga kini tiada terma-terma mahupun perjanjian baru ditandatangani di antara kerajaan negeri dan Pusat berkenaan royalti minyak.

"Ketika rundingan terakhir yang dijalankan dengan Petronas baru-baru ini, mereka putuskan akan mengagihkan wang royalti itu secara berperingkat-peringkat melalui Kementerian Kewangan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) yang diwakili oleh Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) berhubung isu wang royalti Petronas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Said berkata, Petronas telah menyerahkan kesemua wang royalti itu kepada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat tidak mengambil sedikit pun daripada wang tersebut.

Bagaimanapun jelasnya, berkenaan isu kerajaan Persekutuan menggunakan wang royalti sebelum ini, pihaknya dalam usaha mendapatkan kembali wang tersebut bernilai RM2.169 bilion.

"Berkenaan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju memberikan kita semula sebanyak RM1.7 bilion. Justeru kita sedang berusaha mendapatkan RM400 juta lagi.

"Ada beberapa masalah yang belum mendapat kata putus antaranya tentang pembinaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud peringkat kedua, sebab itu wang royalti tersebut masih belum diperoleh.

"Apabila selesai kelak, Kerajaan Pusat akan membayarnya kepada kita sebanyak RM219 juta setahun pada setiap bulan Januari," jelasnya.

Kepada soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) berhubung penggunaan wang royalti oleh badan-badan kerajaan atau negeri-negeri lain untuk membina projek perumahan, Ahmad Said berkata tuntutan bagi perkara itu masih dijalankan.

"Kita mahu lihat ada berapa bakinya dan selepas ini kita mahu ia diselesaikan sekaligus," katanya.

No comments:

Post a Comment