Terengganu perlu merangka strategi memastikan menang keempat-empat perlawanan terakhir Liga Super sambil mengharapkan Kelantan tercicir mata.
Hari ini T-Team yang berkunjung ke Kota Bharu membawa misi penting iaitu memenangi perlawanan bagi meletakkan dirinya di kelompok empat pasukan terbaik Liga Super.
Sambil itu kemenangan adalah hadiah menjamin ‘abangnya’ berkedudukan selesa dengan Terengganu perlu menewaskan Pahang di Kuala Terengganu, malam ini.
Kerana itu skuad Penyu perlu melupakan seketika Piala FA dengan memberi tumpuan bagi mengharungi baki empat perlawanan liga Super yang dianggap getir.
Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh sudah mengingatkan anak-anak buahnya tidak boleh tersalah langkah dan tersilap catur dalam persaingan sengit ketika semakin hampir melangkah ke atas teratas.
"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai final Piala FA menentang Kelantan 11 Jun buat masa ini, kita tumpuan baki perlawanan liga Super" katanya.
Terengganu kini di tangga kedua liga dan hanya dipisahkan dengan kelebihan jaringan berbanding pendahulu, Kelantan selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di laman sendiri, kelmarin.
Menurut Che Mat, beliau berpuas hati dengan aksi para pemainnya yang mendengar arahan dan berjaya mendominasi perlawanan sejak dari awal permainan hingga wisel penamat ditiupkan.
"Masalah keletihan dan kecederaan nyata tidak menghalang pemain kita daripada mempamerkan aksi terbaik malam ini (kelmarin).
"Walaupun pemain mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol tapi Alhamdulillah, keputusan 3-0 ini sudah mencukupi," katanya kepada selepas tamat perlawanan.
Bagi Yunus Alif pula, beliau mengakui cabaran besar menanti, namun pengendali T-Team itu tetap positif anak buahnya mampu memberi saingan kepada Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed VI, malam ini.
Keyakinan itu berasas memandangkan beberapa barisan pemain utamanya pernah beraksi dengan pasukan gergasi bola sepak tersebut.
Bagaimanapun, pemain dipaksa untuk bijak mengawal emosi ketika berdepan dengan penyokong tuan rumah malam ini agar tidak mengganggu prestasi permainan.
“Meskipun kesemua pemain masih lagi keletihan berikutan jadual perlawanan yang padat, namun kita (T-Team) bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan malam ini.
“Kemungkinan kita terpaksa turun tanpa penjaga gol utama, Mohd Syamsuri Mustaffa yang masih mengalami kecederaan lutut kiri,” katanya semalam.
Yunus dalam nada rendah diri turut mengakui, T-Team yang turun selaku pasukan bukan pilihan perlu bekerja keras untuk mengumpul mata dalam pertemuan dengan Kelantan malam ini.
Pasukan berstatus kelab, T-Team sedang bergelut dengan prestasi semasa menghuni tangga ke tujuh liga selepas mengharungi 21 perlawanan dengan mengumpul 28 mata.
No comments:
Post a Comment