Saturday, May 28, 2011

Wujud Semula Lot Letak Kereta

Kira-kira 50 pemilik premis berhampiran Bulatan Batu Bersurat di Jalan Sultan Sulaiman memohon Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mewujudkan semula petak letak kenderaan bermeter sepanjang jalan itu.

Mereka memohon pertimbangan pihak MBKT agar lebih 45 tempat letak kereta bermeter di kiri dan kanan bahu jalan dapat dibenarkan semula sebagai tempat letak kereta awam setelah ia dimansuhkan kira-kira setahun lalu.

Salah seorang pemilik premis kawasan itu, Mohd. Saberi Muda berkata, permohonan itu wajar dipertimbangkan kerana keperluannya semasa sangat mendesak.

"Ketiadaan tempat letak kereta yang mencukupi telah menyebabkan para pelanggan atau pelancong mengelak untuk singgah di kawasan perniagaan berkenaan.
"Jika pengunjung berhenti di situ, mereka bakal dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa MBKT.

"Ada pelanggan kami tiada pilihan selain melainkan membiarkan mereka disaman kerana meletakkan kereta di kawasan itu untuk membeli, " katanya.

Bagi Nor Ida Ibrahim, permohonan itu wajar dipercepatkan kerana faktor ketiadaan ruang meletak kenderaan telah menyebabkan perniagaan di kawasan itu kian terjejas teruk.

"Jalan di sini tidaklah begitu sibuk seperti jalan-jalan yang lain. Sekiranya tempat letak kenderaan itu diwujudkan semula, jalan ini masih luas iaitu dua lorong di sebelah kiri dan dua lorong di sebelah kanan.

"Lagipun, individu yang berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan di Wisma Persekutuan boleh menggunakannya kemudahan itu kelak dan ini dapat mengurangkan kesesakan di Jalan Pejabat, " ujarnya.

Katanya, mereka telah menghantar satu memorandum kepada MBKT pada Jun tahun lalu untuk mengadu hal berkaitan.

Datuk Bandar MBKT, Datuk Adzlan Mohd. Dagang ketika ditemui pemberita baru-baru ini berkata, pihaknya telah meneliti memorandum berkenaan dan telah berbincang dengan beberapa pihak untuk pertimbangan.

"Pada asalnya pemansuhan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, termasuk perubahan aliran lalu lintas pada ketika itu dan kami ingin menyusun semula kemudahan tempat letak kenderaan awam di bandar raya ini,'' jelasnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment