Wednesday, June 29, 2011

500 Kedai Runcit Bakal Dinaik Taraf Menerusi Program TUKAR

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasar sebanyak 500 kedai runcit dinaik taraf dalam Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) di seluruh negara tahun ini.

Setakat ini 92 kedai runcit tradisional telah berjaya ditransformasi dengan bantuan pasar raya Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Carrefour Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang bertindak sebagai konsultan.

Pada Khamis (23 Jun) lalu KPDNKK menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat iaitu Aeon Co (M) Bhd, Econsave Cash and Carry Sdn Bhd, Sunshine Wholesale Mart Sdn Bhd dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu yang dilantik sebagai konsultan untuk membantu kerajaan.

Ketua Delivery Management Office KPDNKK Putrajaya, Mohd Fariszan Ahmad berkata sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk disalurkan sebagai pinjaman menerusi Bank Kerjasama Rakyat kepada para pemilik kedai runcit yang memilih untuk menyertai TUKAR dengan pembayaran balik dalam tempoh 15 tahun.

"Dengan kadar faedah sebanyak tiga peratus pemilik-pemilik kedai runcit akan memperolehi keuntungan yang lebih tinggi.

"Tempoh masa bayaran yang agak panjang tidak membebankan pemilik dan mereka boleh menikmati keuntungan dan meluaskan bidang perniagaan mereka," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat kepada media mengenai TUKAR di sini Selasa.

TUKAR dilancarkan pada Januari lepas dengan menawarkan pinjaman RM60,000 kepada seorang pekedai.

Insiatif ini bagi membantu pekedai runcit di kawasan kecil dan luar bandar meningkatkan aktiviti perniagaan mereka.

"Beberapa manafaat akan diperolehi pemilik kedai runcit dalam program ini antaranya dapat mempelajari sistem pengurusan pos atau inventori, perningkatan dalam jualan dan kawalan aliran wang tunai, susun atur kedai dan papan tanda," kata Mohd Fariszan.

No comments:

Post a Comment