Peserta mini estet ubi Vitato di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat mampu memperoleh pendapatan bersih melebihi RM2,000 sehingga RM15,000 sebulan, bergantung kepada keluasan tanah yang diusahakan dengan tanaman itu.
Pengurus Besar PPK Pelagat Zakaria Ibrahim berkata kini terdapat seramai 50 peserta yang menyertai mini estet ubi Vitato PPK Pelagat yang membabitkan kawasan seluas 38.4 hektar.
"Ubi Vitato boleh mengeluarkan hasil dalam masa tiga bulan selepas ditanam.
Harga ubi Vitato kini adalah RM1 sekilogram di peringkat ladang manakala di pasaran antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram,” katanya di Besut.
Beliau berkata musim pertama tanaman tahun ini telah mula dituai seminggu lepas dan setakat ini pengeluaran mencapai 15 metrik tan sehektar.
"Habis musim ini, kita akan menanam untuk musim kedua pula,” katanya.
Zakaria berkata tanaman ubi Vitato akan dijadikan tanaman utama bagi menggantikan tanaman tembakau, dan mini estet tanaman itu mula diperkenalkan kepada para peserta tahun lepas selepas tanaman tembakau dihentikan.
Selain itu, katanya peserta juga akan menanam jagung sebagai tanaman sampingan.
No comments:
Post a Comment